PROMAK atasi isu malnutrisi, tingkat kehadiran murid

Fadhlina (tengah) bergambar bersama murid-murid yang turut hadir pada PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar pada Selasa.
Fadhlina (tengah) bergambar bersama murid-murid yang turut hadir pada PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang disediakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menjadi serampang dua mata kerana bukan sahaja menangani isu malnutrisi tetapi membantu meningkatkan kehadiran dalam kalangan murid sekolah rendah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program tersebut menjadi pelengkap kepada Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan kerajaan.

“Program seperti PROMAK bukan sahaja dapat membantu mengatasi isu mulnutrisi dalam kalangan murid, bahkan ia sebagai serampang dua mata yang turut mampu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

“Kita dimaklumkan oleh BERNAS yang menjalankan kajian impak ke atas 45 sekolah PROMAK di Kedah dari Julai 2022 sehingga Januari lalu yang mendapati purata kehadiran murid setiap bulan meningkat sebanyak lima peratus daripada 84 peratus kepada 89 peratus sejak PROMAK diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Penasihat Khas Yayasan Albukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar; Ahli Lembaga Pengarah BERNAS, Datuk Ab Rahim Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman.

Jelas Fadlina lagi, Kementerian Pendidikan (KPM) terbuka dan memberi sokongan sekiranya BERNAS bercadang memperluaskan PROMAK ke lebih banyak sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak 93 buah sekolah rendah di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan membabitkan 20,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan mendapat manfaat sejak PROMAK dilancarkan.

Artikel Berkaitan:

“BERNAS sentiasa proaktif dan kita baharu sahaja memperbaharui komitmen untuk tahun ini, 2024 dan tahun seterusnya kerana peluasan manfaat itu akan ditentukan oleh BERNAS dan KPM akan menyambut baik pelaksanaan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rohani memaklumkan BERNAS menghargai sokongan dan kerjasama daripada KPM serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan PROMAK menepati matlamatnya.

“Setakat ini, hampir 4 juta hidangan makanan tengah hari bernilai RM6 disediakan kepada murid-murid yang terlibat di bawah program ini setiap hari persekolahan. Kedah merupakan negeri terbesar dengan 45 sekolah dan lebih 10,000 murid menikmati makanan berkhasiat.

“Hidangan makanan tengah hari yang disediakan ini mencakupi piramid makanan yang seimbang berdasarkan nasihat dan piawaian KKM serta dipantau oleh pihak sekolah dan penyedia pemakanan bertauliah yang dilantik bagi memastikan makanan yang disediakan bernutrisi,” katanya.