Lokomotif diesel pertama ECRL tiba di Malaysia

Beberapa lokomotif diesel telah tiba di Bandar Pelabuhan Kuantan, Pahang. - Foto FB East Coast Rail Link - ECRL
Beberapa lokomotif diesel telah tiba di Bandar Pelabuhan Kuantan, Pahang. - Foto FB East Coast Rail Link - ECRL
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa lokomotif diesel yang akan digunakan bagi membantu aktiviti pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah tiba di negara ini.

Menurut ECRL, kepala kereta api itu kini berada di depot mereka iaitu di Bandar Pelabuhan Kuantan, Pahang.

“Berita gembira. Beberapa lokomotif diesel ECRL pertama tiba melalui Pelabuhan Kuantan.

“Ia akan membantu aktiviti pembinaan projek tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 19 September lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek ECRL dilapor mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 50.29 peratus.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun puncak pembinaan ECRL membabitkan kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk, pembinaan stesen dan pemasangan landasan.

Ujar beliau, kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah Tunnel Boring Machine (TBM) untuk terowong Genting pertama sudah mencapai 3.10 kilometer (km), manakala terowong Genting kedua mencapai 4.29km.

Tarikh penyiapan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan sehingga Gombak masih kekal seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026 manakala dari Gombak sehingga Pelabuhan Klang akan siap pada 31 Disember 2027.

Artikel Berkaitan:

Projek ECRL sepanjang 665km membabitkan negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Kontraktor utama projek ECRL ialah China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) yang juga merupakan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

Sebanyak 2,785 syarikat tempatan merangkumi subkontraktor, konsultan, pembekal dan pemberi perkhidmatan terbabit dalam projek pembinaan ECRL sehingga 31 Ogos lalu.