'Geng Dan Lombok' didalangi warga asing tumpas

Yahaya menunjukkan gambar-gambar suspek 'Geng Dan Lombok' yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di negeri ini.
Yahaya menunjukkan gambar-gambar suspek 'Geng Dan Lombok' yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di negeri ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah warga asing 'Geng Dan Lombok' yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di negeri ini.

Tujuh suspek warga Indonesia termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai Dan Lombok, 43, dan seorang wanita tempatan ditahan secara berasingan di Felda Keratong, Rompin; Nilai dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dalam tempoh 12 hingga 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kumpulan penjenayah berusia 28 hingga 48 tahun itu dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Menurutnya, siasatan dilakukan susulan lapan kes samun melibatkan suspek warganegara Indonesia dilaporkan berlaku di Felda Keratong, Rompin dalam tempoh Ogos hingga Oktober ini.

"Suspek yang bersenjatakan parang dan pisau dipercayai melakukan jenayah itu pada awal pagi dan bertindak ganas dengan mengugut serta mengikat mangsa.

"Terdapat kes mangsa dicederakan suspek sebelum disamun," katanya pada sidang akhbar berkaitan kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Isnin.

Yahaya berkata, antara barang yang disamun termasuk motosikal, barang kemas, wang tunai dan telefon dengan anggaran kerugian dialami kesemua mangsa mencecah RM70,500.

Yahaya menunjukkan antara barang kes yang dirampas susulan penahanan kumpulan penjenayah 'Geng Dan Lombok' baru-baru ini.
Yahaya menunjukkan antara barang kes yang dirampas susulan penahanan kumpulan penjenayah 'Geng Dan Lombok' baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang dan Negeri Sembilan melakukan beberapa siri serbuan dan berjaya menangkap semua suspek yang bekerja sebagai buruh ladang di Felda Keratong.

"Tangkapan itu termasuk seorang lelaki Indonesia dan wanita tempatan (pasangan suami isteri) yang dipercayai berperanan menyediakan kenderaan dan menjual barang-barang kemas yang di samun," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, ketua kumpulan itu (Dan Lombok) pernah ditangkap pada 2015 kerana melakukan jenayah samun di Felda Keratong dan menjalani hukuman penjara selama setahun.

"Dia telah di usir balik ke Indonesia namun kembali semula ke negara ini secara haram dan didapati mengulangi jenayah itu bersama suspek lain.

"Kesemua suspek ditangkap dipercayai memasuki dan bekerja di negara ini secara haram tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja sah," jelasnya.

Menurutnya, susulan penahanan kumpulan penjenayah warga asing itu, sebanyak 14 kes samun dan pecah rumah berjaya diselesaikan iaitu sembilan kes di Pahang, Terengganu (3 kes) dan Negeri Sembilan (2 kes).

"Ekoran penahanan suspek, polis merampas barang-barang kes termasuk senjata, alat-alat pecah rumah, sejumlah barang kemas, jam tangan, telefon,resit jualan barang kemas dan dua kereta jenis Perodua Myvi dan Bezza," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397/394 Kanun Keseksaan dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Semua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosudur Jenayah sehingga Rabu depqn untuk siasatan lanjut," katanya.