Prestasi ringgit, mata wang serantau terus didorong faktor luaran


Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun melonjak kepada 4.91 peratus, tertinggi sejak 2007. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun melonjak kepada 4.91 peratus, tertinggi sejak 2007. - Gambar hiasan
A
A
A

FAKTOR di peringkat luaran terus mendorong perkembangan membabitkan prestasi ringgit dan mata wang serantau, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, faktor lain yang turut mendorong penurunan nilai ringgit pada tahun ini adalah jangkaan bahawa Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

"(Ini berlaku walaupun) dalam keadaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) sedang berusaha mengawal inflasi pada kadar 3.7 peratus, biarpun mereka sudah menaikkan FFR kepada 5.5 peratus. Kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia pada 3.0 peratus.

"Terpulang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaksanakan langkah seterusnya berkaitan OPR, tetapi kadar inflasi kita daripada 2.0 peratus makin turun kepada 1.9 peratus...oleh itu untuk menaikkan OPR sudah tidak lagi relevan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH) mengenai langkah kerajaan dan BNM untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS selain menaikkan OPR.

Menjelaskan selanjutnya, Ahmad berkata, faktor lain yang turut menyebabkan penurunan nilai ringgit adalah prestasi ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan dan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat negara itu, People's Bank of China yang menjejaskan sentimen pelabur terutama di rantau Asean.

"Kebimbangan ketara terkini adalah mengenai kemungkinan ketegangan geopolitik di Timur Tengah semakin meruncing dan telah menjadikan dolar AS kian mengukuh," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: