Bank Rakyat, MNC Kapital jalin kerjasama

Yudi Hamka (tiga dari kiri) dan Dr Mohammad Hanis (empat dari kiri) semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Bank Rakyat dengan MNC Kapital Indonesia baru-baru ini.
Yudi Hamka (tiga dari kiri) dan Dr Mohammad Hanis (empat dari kiri) semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Bank Rakyat dengan MNC Kapital Indonesia baru-baru ini.
A
A
A

PT MNC Kapital Indonesia Tbk (IDX: BCAP) dan Bank Rakyat memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi penyediaan kemudahan pembiayaan patuh syariah serta perkhidmatan perbankan dan kiriman wang kepada Pekerja Migran Indonesia (PMI) iaitu warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.

MoU tersebut ditandatangani oleh Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Tbk, Yudi Hamka dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia, Drs. Teten Masduk.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan MNC, Hary Tanoesoedibjo di hadapan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu mewujudkan perkhidmatan perbankan dan kiriman wang rentas sempadan untuk PMI bagi mendapatkan pembiayaan Syariah sebelum ke luar negara sebagai modal untuk prosedur pentadbiran sebelum berlepas, serta untuk menyediakan dana untuk keluarga mereka di tanah air.

“Bank Rakyat akan bertindak sebagai rakan perkhidmatan perbankan kepada PMI di Malaysia untuk melakukan transaksi pemotongan automatik daripada gaji yang diterima semasa bekerja di Malaysia terus ke akaun MotionBank, perkhidmatan perbankan digital yang dimiliki oleh MNC Kapital.

“Kerjasama itu juga memudahkan pemindahan rentas sempadan dan menyediakan pelbagai kemudahan transaksi dalam talian untuk PMI dan keluarga mereka di tanah air. Perkhidmatan ini boleh digunakan oleh PMI untuk membuat tuntutan Keselamatan Sosial Pekerjaan,” jelas kenyataan itu.

Ewon Benedick berkata, kolaborasi strategik antara dua negara itu bertepatan dengan agenda di peringkat ASEAN (ASEAN Madani) menerusi konsep Malaysia Madani khususnya dalam menjalinkan pengaturan strategik, memudah cara pergerakan modal insan serta menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

“Kolaborasi ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif termasuk berupaya bagi memastikan kemasukan PMI adalah secara sah ke Malaysia mengikut lunas undang-undang kedua-dua negara, keterjaminan keselamatan dan perlindungan hak-hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan semasa berada di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga membantu penambahan bekalan PMI khususnya dalam sektor pembinaan yang mana dijangka dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” kata Ewon.

Sementara itu, Hary Tanoesoedibjo berkata, kerjasama itu juga menjadi momentum MNC Group dalam mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa.

“Saya percaya dengan kepakaran MNC Kapital dalam perkhidmatan kewangan digital ini akan memberikan nilai signifikan kepada Bank Rakyat dan sebaliknya. Ini merupakan permulaan langkah penting dan bermakna daripada kedua-dua pihak untuk membina infrastruktur kewangan digital yang teguh bagi Indonesia dan Malaysia,” tambah Hary Tanoesoedibjo.

Bagi Yudi Hamka pula, kerjasama antara MNC Kapital dengan Bank Rakyat itu akan memberi sokongan padu kepada aktiviti kewangan PMI.

“Berdasarkan data Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia pada Jun 2023, jumlah pekerja yang ditempatkan di Malaysia adalah melebihi 38 ribu orang daripada hampir 136 ribu pekerja yang telah berlepas tahun ini.

“Selain dapat mencapai pertumbuhan dalam pemerolehan pengguna dan volum transaksi, MNC Kapital juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman perbankan dan pembiayaan mereka menerusi pelbagai inovasi jenama Motion, termasuklah MotionBank sebagai penyelesaian kewangan untuk PMI,” katanya.

Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat turut melihat peluang jalinan kerjasama perbankan digital bersama MotionBank itu bagi mengukuhkan lagi usaha bank itu dalam mengembangkan penawaran perbankan digital kepada pelanggan di kedua-dua negara pada masa hadapan.