USM dinobat Johan pertandingan Debat Statistik 2023

A
A
A

Pasukan debat dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengalahkan 14 universiti awam seluruh negara bagi dinobatkan sebagai juara.
Pasukan debat dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengalahkan 14 universiti awam seluruh negara bagi dinobatkan sebagai juara.

SABAK BERNAM - Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan Johan dalam Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 termasuk piala dan sijil selepas menewaskan wakil Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertemakan ‘pasaran buruh’ telah disertai oleh 14 buah universiti awam seluruh negara dan acara tersebut diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) daerah Sabak Bernam dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Wakil daripada kumpulan tersebut, Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24, berkata, walaupun dia bukan daripada pelajar yang mempunyai latar belakang ekonomi, namun perkara tersebut tidak menghalang mereka untuk terus cemerlang sejak hari pertama pertandingan itu diadakan.

“Pihak penganjur ada memberikan buku sebagai rujukan dan tema untuk debat kali ini berkenaan pasaran buruh, jadi kami menggunakan laman sesawang DOSM untuk dapatkan maklumat lebih terperinci.

“Kami memang memanfaatkan setiap data kerana persaingan kali ini kita bukan hanya merancang strategi sahaja, sebaliknya perlu disertakan dengan fakta yang tepat lebih-lebih lagi semua panel merupakan pakar dalam bidang ekonomi dan statistik,” katanya pada Jumaat.

Pasukan Debat USM diwakili oleh Muhammad Nor Azlan Yusof, Muhammad Irfan Shah Duraman, Muhamad Hafizi dan Muhammad Fahim Faidhi Mohd Azman.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan debat antara mahasiswa penting bagi memastikan mereka cakna dan memberi penyelesaian tuntas terhadap isu semasa negara.
Pertandingan debat antara mahasiswa penting bagi memastikan mereka cakna dan memberi penyelesaian tuntas terhadap isu semasa negara.

Manakala wakil UiTM yang berjaya merangkul Naib Johan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 adalah Ahmad Hariz Hazmi,Muhamad Alif Izzudin Azmale, Zahratul Afza Rosli dan Muhamad Aiman Hafiz Alias.

NUR SYAHIRAH
NUR SYAHIRAH

Dalam pada itu, bagi pemenang Pendebat Terbaik Keseluruhan, Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 21, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, antara cabaran paling sukar adalah mengolah fakta dan memahami setiap data yang diberikan oleh DOSM.

“Semua pasukan mendapat bahan rujukan sama, namun ia bergantung kepada kreativiti individu tersebut untuk meletakkan perspektif atau cara melihat data yang diberikan bagi merangka polisi kepada kerajaan sebagai tindakan lanjut,” jelasnya.

MUHAMMAD ALIF
MUHAMMAD ALIF

Bagi pemenang Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, Muhammad Alif Izzudin, 20, dari UiTM berkata, debat bukan sahaja mengasah intelektual semata-mata, sebaliknya ia perlu lebih santai dan berilmiah.

“Fakta dan intelektual perlu seiring bagi memastikan tiada kesalahan maklumat ketika berhujah di hadapan panel walaupun dalam keadaan santai,” ujarnya.

DR. MOHD UZIR
DR. MOHD UZIR

Sementara itu, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pertandingan debat antara mahasiswa penting bagi memastikan mereka cakna dan memberi penyelesaian tuntas terhadap isu semasa negara.

Jelasnya, isu pasaran buruh merupakan masalah yang sering membelenggu graduan selepas tamat belajar dan perkara tersebut memerlukan penyelesaian tuntas kepada pihak pembuat polisi bagi memastikan tenaga mahir negara menyumbang kepada setiap industri.

“Saya berpendapat siri kedua ini adalah lebih baik kerana setiap peserta berhujah secara kritis dan mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam memastikan pasaran buruh kukuh dengan terus memberi peluang meningkatkan pekerja mahir negara,”katanya.