NHCCE 2023 himpun 30 tokoh, lebih 400 pempamer

Fokus cabaran, potensi masa depan modal insan Asia Tenggara

A
A
A

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar (tengah) menyempurnakan majlis pra pelancaran NHCCE 2023 di MITEC, Kuala Lumpur pada September lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar (tengah) menyempurnakan majlis pra pelancaran NHCCE 2023 di MITEC, Kuala Lumpur pada September lalu.

National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) 2023 bakal menjadi medan perbincangan terbesar di Asia Tenggara yang akan memfokuskan kepada penyelesaian isu-isu yang berkaitan cabaran di tempat kerja.

Dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), NHCCE 2023 itu menghimpunkan pengamal bidang modal insan dan sumber manusia yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 30 hingga 31 Oktober 2023.

HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, dalam perubahan dunia ketika ini khususnya selepas pandemik Covid-19, antara cabaran yang dihadapi oleh organisasi dan pengamal sumber manusia ialah kekurangan bakat global, teknologi baharu, pengaturan kerja hibrid dan fleksibel, peningkatan permintaan bakat serta budaya kerja yang berkembang.

“Justeru, pada (NHCCE 2023) kali ini perbincangan akan menjurus kepada perkembangan industri sumber manusia untuk bangkit semula selepas dunia berdepan dengan kemelut pandemik,” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan pada Rabu.

Pada masa sama, HRD Corp turut memaklumkan NHCCE 2023 akan turut membincangkan situasi serta masa depan rantau Asia Tenggara yang berada pada kedudukan ekonomi perindustrian yang pesat di samping perkembangan penggunaan teknologi baharu serta isu penuaan populasi.

Perkara berkenaan menurut HRD Corp, telah memberi implikasi yang merubah struktur geopolitik sekali gus menimbulkan kebimbangan ke atas masa depan pekerjaan dan bakat di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Matlamat

NHCCE 2023 yang bertemakan 'Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’ itu bermatlamat membantu organisasi di rantau Asia Tenggara mengharungi cabaran dengan mendalami isu pembangunan modal insan.

Malah, persidangan itu juga menjadi platform yang mampu menggerakkan tenaga kerja, membuka nilai baharu serta memupuk kemajuan personal dan profesional.

Selain itu, persidangan berkenaan turut membantu mengubah pendekatan semasa organisasi kepada pembangunan modal insan dan memanfaatkan peluang tanpa had yang tersedia dalam masa depan pekerjaan.

HRD Corp menjelaskan, organisasi di rantau Asia Tenggara berjaya memperlihatkan keupayaan mengekalkan momentum positif meskipun berhadapan dengan gangguan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Berdasarkan rekod pada tahun 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dianggarkan bernilai USD3.66 trilion (RM17.04 trilion) tertinggi sejak pandemik itu. Prestasi itu diramalkan akan meningkat pada kadar 4.6 peratus pada tahun 2023,” jelas HRD Corp dalam kenyataan tersebut.

Justeru, untuk mengekalkan momentum tersebut serta memacu pembangunan ekonomi baru, rantau Asia Tenggara harus beralih daripada tenaga kerja berkemahiran dan kos rendah kepada ekonomi bernilai tambah.

Maka, antara prasyarat untuk membina tenaga kerja itu adalah pengamal sumber manusia yang diberi kuasa mampu memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan semula matlamat organisasi dengan permintaan industri semasa.

Lima perkara utama

NHCCE 2023 secara spesifiknya akan menyentuh lima perkara utama dalam memperkasakan modal insan iaitu teknologi dan inovasi, kepimpinan dan pertumbuhan, motivasi dan kesejahteraan, pembelajaran dan pembangunan serta tenaga kerja dinamik dan masa depan tempat kerja.

Sementara itu, antara topik-topik utama yang dikongsi dalam NHCCE 2023 itu ialah Teknologi Kemanusiaan: Mencipta Pengalaman Pekerja Luar Biasa Hari Ini & Esok, Kepimpinan Transformasi: Memperkasa orang ramai untuk kejayaan Jangka Panjang serta Menerima SDG: Mengutamakan Kesihatan Bakat dan Kesejahteraan Holistik.

Pada masa sama, NHCCE 2023 turut menampilkan 30 orang tokoh terkemuka dalam bidang sumber manusia antaranya Dave Ulrich yang dikenali dengan jolokan ‘bapa HR moden’ selain tokoh pemikir, Eric Termuende serta penulis terkenal dalam bidang perubahan manusia, Dr Justin Cohen.

Selain itu, NHCCE 2023 turut mengundang tokoh-tokoh tempatan antaranya Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf ; Atlet MMA Wanita Pertama Malaysia dan Pengarah Urusan Pusat Pengajian Ultimate Learning, Ann Osman serta Ketua UST Global (M) Sdn Bhd, Amar Chhajer.

400 pempamer terkemuka

NHCCE 2023 turut disertai 400 pempamer terkemuka yang menawarkan produk serta perkhidmatan terbaharu.
NHCCE 2023 turut disertai 400 pempamer terkemuka yang menawarkan produk serta perkhidmatan terbaharu.

NHCCE 2023 turut disertai 400 pempamer terkemuka yang menawarkan produk serta perkhidmatan terbaharu meliputi model peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang persidangan itu antaranya Silence Conference mengenai topik pembangunan modal insan, pameran kerjaya, peluang padanan perniagaan, sesi perkongsian daripada pempengaruh serta key opinion leader daripada industri gig.

NHCCE 2023 ini istimewa kerana ia diadakan buat kali kedua selepas penjenamaan semula Persidangan & Pameran HRDF pada 2021 kepada NHCCE tahun lepas.

Pada tahun lalu, penganjuran persidangan tersebut berjaya menarik lebih 2,000 perwakilan di seluruh rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, HRD Corp memaklumkan pas masuk bagi NHCCE 2023 telah dibuka yang mana pas standard berharga RM2,500 manakala pas kumpulan boleh didapati pada harga RM2,250 setiap seorang dengan syarat sekurang-kurangnya tiga peserta.

Bagi penjawat awam, mereka hanya dikenakan pada harga RM2,000 bagi pas kerajaan manakala pas pelajar berharga RM500.

Daftarlah segera untuk sertai NHCCE 2023 dengan melayari laman sesawang www.hrdcorp.gov.my atau emel nhcce@hrdcorp.gov.my atau menghubungi talian 03-7661625.

Orang ramai juga boleh mengikuti platform media sosial HRD Corp untuk mendapatkan diskaun istimewa dari semasa ke semasa.