Situasi di Palestin meruntun hati Permaisuri Johor

Raja Zarith Sofiah (kanan) menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di bumi Gaza dalam satu majlis di UTM, pada Sabtu. - Foto FB The Royal Johor
Raja Zarith Sofiah (kanan) menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di bumi Gaza dalam satu majlis di UTM, pada Sabtu. - Foto FB The Royal Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di bumi Gaza ketika ini, dalam satu majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Palestin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada Sabtu.

Menurut hantaran di Facebook rasmi The Royal Johor, baginda yang juga Canselor UTM telah berkenan berangkat ke majlis itu bersama isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang juga Pro-Canselor UTM.

Hadir sama Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Pada sesi dialog bersama pelajar berkenaan, baginda bertitah bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan semasa di bumi Gaza.

"Sejak 8 Oktober lalu, saya mengikuti berita di dalam media sosial mengenai situasi semasa di Palestin.

"Saya berasa amat sedih melihat apa yang sedang berlaku ketika ini.

"Menerusi majlis hari ini, para pelajar berkongsi pengalaman yang dilalui sewaktu berada di Palestin serta menyuarakan apa yang boleh dibantu dunia,” titah Permaisuri Johor.

Pada sesi itu, beberapa pelajar Palestin turut berkongsi bahawa ketika ini bukan sahaja ribuan rakyat di Gaza mengalami kecederaan, malah berdepan krisis bekalan makanan dan air.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka turut menyatakan kebimbangan mengenai keadaan keluarga masing-masing disebabkan tiada kemudahan Internet dan bekalan elektrik.

Seramai 31 pelajar dari Palestin itu sedang mengikuti pengajian di UTM pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, majlis itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pelajar Palestin selain memberitahu bahawa UTM sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan.

Pertempuran terkini melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas, telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. - Bernama