'PhD hadiah istimewa untuk arwah ayah'

Abdullah (berdiri, tengah) merakam gambar di samping anak dan isteri sempena Majlis Konvokesyen UMT di Kuala Nerus pada Ahad.
Abdullah (berdiri, tengah) merakam gambar di samping anak dan isteri sempena Majlis Konvokesyen UMT di Kuala Nerus pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Dr Abdullah Sulaiman menyifatkan kejayaan menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebagai hadiah untuk arwah ayahnya.

Abdullah, 54, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berjaya menamatkan pengajian selama tujuh tahun peringkat PhD di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Ahad.

"Semasa hayatnya, arwah ayah membanting tulang membesarkan kami sembilan beradik, jadi saya nekad walau apapun saya mahu hadiahkan PhD untuk dia," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UMT di sini pada Ahad.

Abdullah antara 2,388 graduan UMT yang diraikan dalam majlis konvokesyen kali ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga Selasa depan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, bapanya, Sulaiman Ibrahim bekerja sebagai penoreh getah sepenuh masa manakala ibunya, Siti Jarah Che Jusoh suri rumah di samping menjadi guru al-Quran di kampung.

"Walaupun kehidupan kami sekeluarga dibelenggu kemiskinan, aspek pendidikan tetap diberi keutamaan kerana telah diterap sejak kecil hanya ilmu mampu mengubah masa depan keluarga," katanya.

Kongsi Abdullah, kehidupan ketika masih kecil amat mencabar akibat faktor kekangan kewangan.

"Hidup ketika itu memang susah ibarat 'kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang'... makan bercatu itu sudah menjadi lumrah kami sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

"Syukurlah hasil daripada ketegasan arwah ayah serta keperitan hidup yang pernah dilalui, kami akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan dua adik-beradik berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada golongan miskin di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah turut berkongsi keadaan ibunya yang kini telah terlantar sakit sejak 10 tahun lalu.

"Ibu saya juga sudah uzur dan hanya terlantar. Dalam keadaan sukar ini saya berasa lega kerana berjaya penuhi impian mereka berdua. PhD ini hadiah istimewa untuk mereka berdua," ujarnya.

Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah telah diiktiraf oleh UMT dengan melantiknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu merupakan ahli geologi profesional dengan bidang kajian berfokus kepada isu perubahan iklim sejagat khususnya kenaikan paras laut.

Beliau berkata, kajian itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia khususnya di Selat Melaka serta akan menjadi rujukan global dalam bidang tersebut.

Antara sumbangan beliau ialah melalui kerjasama JMG dan UMT pada tahun 2019 hingga tertubuhnya jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.