Remaja patah kaki, tangan langgar belakang SUV polis

Keadaan SUV polis dan motosikal selepas kemalangan di KM4 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran lampu isyarat Bandariang, Gerik pada Ahad. - Foto sumber
Keadaan SUV polis dan motosikal selepas kemalangan di KM4 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran lampu isyarat Bandariang, Gerik pada Ahad. - Foto sumber
A
A
A

GERIK - Seorang remaja cedera selepas motosikal ditunggang melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) polis dalam kejadian kemalangan di Kilometer (KM) 4 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran lampu isyarat Bandariang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi melibatkan dua motosikal Yamaha Y15 dan Proton X70 milik pasukan polis.

Menurutnya, kenderaan polis yang dipandu seorang pegawai bersama seorang lagi pegawai kanan yang sedang berhenti di lampu isyarat secara tiba-tiba dirempuh oleh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun.

"Rempuhan tersebut telah mengenai bahagian belakang kenderaan polis dan penunggang motosikal itu pula mengalami patah kaki dan tangan kanan serta luka pada bahagian kepala.

"Sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 17 tahun sempat mengelak dari melanggar kenderaan polis sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan mengalami luka ringan pada bahagian kaki kiri dan kanan," katanya kepada dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang kenderaan polis tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian kemalangan itu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua penunggang terbabit menunggang dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Geri, Inspektor Zaidi Yasin di talian 013-4487374 bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zulkifli menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu atau menunggang kenderaan serta mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang ditetapkan.