PERKESO, majikan bantu pencari kerja terkesan Covid-19

Orang ramai mencari peluang mengisi kekosongan jawatan sempena Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET Negeri Kelantan 2023 pada Ahad. Gambar kecil: Nora
Orang ramai mencari peluang mengisi kekosongan jawatan sempena Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET Negeri Kelantan 2023 pada Ahad. Gambar kecil: Nora
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membantu semula pencari kerja yang terkesan akibat Covid-19 tiga tahun lalu membantu golongan itu mendapat peluang lebih baik.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, hasil kerjasama dengan majikan di seluruh negeri mengumpul sebanyak 17,864 kekosongan jawatan tahun ini melalui MyFuture Jobs.

Menurut beliau, Perkeso turut mengumpul seramai 31,861 pencari kerja melalui pelbagai saluran termasuk karnival, temuduga terbuka dan di laman web Myfuture Job.

"Kerjasama antara majikan juga berjaya menempatkan 5,003 pekerja di Kelantan sehingga September tahun ini sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET Negeri Kelantan 2023 di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Nora berkata, dalam tempoh tiga tahun sehingga September lalu, seramai 37,000 pencari kerja di Kelantan mendapat pekerjaan di Kelantan.

Nora (empat dari kanan) bersama tetamu dan majikan yang hadir sempena Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET Negeri Kelantan 2023 pada Ahad.
Nora (empat dari kanan) bersama tetamu dan majikan yang hadir sempena Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET Negeri Kelantan 2023 pada Ahad.

Menurutnya, beberapa lokasi termasuk Pejabat Perkeso negeri Kelantan, lapan pusat satelit Myfuture Job dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dijadikan tempat temuduga dan penerimaan maklumat kepada pencari kerja.

Artikel Berkaitan:

"Sasaran kita sehingga akhir tahun ialah sebanyak 6,800 individu mendapat pekerjaan dan ini merupakan sumbangan Perkeso membantu mereka meningkatkan taraf hidup," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 2,000 peluang pekerjaan di pelbagai sektor ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Myfuture Job TVET yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Jelas beliau, majikan memberi komitmen terbaik kerana ada dalam kalangan mereka menawarkan gaji maksimum mencecah RM7,000.

Bagi memberi kesedaran kepada lebih ramai pencari kerja, Nora berkata, agensi itu turut memberi kesedaran lebih awal kepada pelajar melalui Program Eksplorasi Kerjaya membabitkan pelajar tahfiz.

"Program ini bertujuan mendedahkan laluan kerjaya dan menangani jurang ketidakpadanan pekerjaan di negara ini," katanya.