Lelaki mengaku samun remaja dalam lif

Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan melakukan samun ke atas remaja dalam lif minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Hidayat Daim, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Tertuduh didakwa pada jam 3.18 petang dalam lif blok A, Pangsapuri Desa Jaya, Jalan Bayu Puteri 2 di sini melakukan samun terhadap Mohamad Daniel Suffian Mohd Azli, 14, dengan mengambil sebuah telefon bimbit jenis Vivo YISA warna biru gelap.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh S Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah untuk menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Pihak pendakwaan juga mencadangkan supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan memohon mahkamah memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak menganggu mangsa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh menyatakan tidak mahu diikat dijamin.

Fatimah menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan fakta dan jatuh hukum.

Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan mangsa membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku pada 15 Oktober lalu.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah.

Sementara hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila dia disamun seorang individu bertopi keledar ketika di dalam sebuah lif kediaman pangsapuri di sini.

Kejadian bermula apabila remaja yang sudah berada dalam lif didatangi dua individu lelaki bertopi keledar, kemudian seorang daripada mereka beredar.

Mangsa pada mulanya tidak sedar hendak disamun, tetapi tindakan suspek yang menghalang mangsa keluar dari lif dan meminta mangsa menyerahkan barangan berharga kepadanya.