DigiKOP 2030 bantu tingkat keupayaan koperasi, teknologi

Wan Rosdy (tengah) ketika melancarkan DigiKOP 2030 sempena majlis pelancaran BKK 2023 pada Isnin.
Wan Rosdy (tengah) ketika melancarkan DigiKOP 2030 sempena majlis pelancaran BKK 2023 pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 bagi meningkatkan keupayaan koperasi di negara ini kepada perniagaan berasaskan teknologi.

Inisiatif melalui kerjasama Suruhanjaya Koperasi (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu dijangka mampu membawa perubahan dalam mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan.

Pelancaran DigiKOP 2023 disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2023 pada Isnin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sudah tiba masanya koperasi beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

Menurutnya, pada masa sama koperasi juga perlu memodenkan operasi dan pentadbiran mereka melalui teknologi dan sistem digital.

"Pelan ini akan menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi di negara ini untuk menjalankan perniagaan berasaskan teknologi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran BBK 2023 itu.

Ewon Benedick berkata, Kuskop juga akan melancarkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) sempena Majlis Penutupan Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan di Sabah yang dijadualkan penghujung bulan ini.

Menurutnya, DaKoM 2030 merupakan kesinambungan pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang akan memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi negara dengan matlamat mewujudkan ekosistem koperasi yang holistik dan kondusif.

Sempena pelancaran BKK 2023, lima koperasi dari zon timur menerima Pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) bernilai RM13.9 juta.

Lima lagi koperasi dari zon sama menerima geran bantuan pembangunan bernilai RM665,000.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, 10 koperasi dari Pahang tersenarai dalam indeks 100 koperasi terbaik di negara ini tahun lalu dengan sumbangan perolehan mencecah RM181 juta.

Wan Rosdy (barisan belakang, tengah) dan Ewon Benedick (barisan belakang, tiga dari kiri) bersama wakil koperasi dari zon timur yang menerima menerima pinjaman tabung modal pusingan dan geran bantuan pembangunan koperasi sempena majlis pelancaran BKK 2023 pada Isnin.
Wan Rosdy (barisan belakang, tengah) dan Ewon Benedick (barisan belakang, tiga dari kiri) bersama wakil koperasi dari zon timur yang menerima menerima pinjaman tabung modal pusingan dan geran bantuan pembangunan koperasi sempena majlis pelancaran BKK 2023 pada Isnin.

Menurutnya, pencapaian membanggakan itu membuktikan sektor koperasi di negeri ini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat.

"Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 1,146 koperasi dicatatkan di Pahang dengan jumlah ahli melebihi 302,000 orang.

"Dengan perolehan RM970 juta melalui koperasi di negeri ini telah meletakkan Pahang sebagai negeri kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa memastikan perkembangan dan pembangunan pertubuhan koperasi di negeri ini berjalan dengan baik agar dapat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri.

"Justeru, kerajaan negeri akan membantu sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi koperasi-koperasi di negeri ini termasuk berkaitan hak milik tanah negeri.

"Kerajaan negeri juga telah meluluskan cadangan pemilikan tanah kerajaan kepada beberapa koperasi di negeri ini termasuk koperasi FELDA," ujarnya.