City lega kembali raih kemenangan

Alvarez (kiri) meraikan jaringannya bersama Haaland (tengah) Phil Foden dalam aksi EPL pada Sabtu. - Foto AFP
Alvarez (kiri) meraikan jaringannya bersama Haaland (tengah) Phil Foden dalam aksi EPL pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER City kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Brighton & Hove Albion, 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad pada Sabtu.

Jaringan Julian Alvarez dan Erling Haaland pada separuh masa pertama memastikan tiga mata buat tuan rumah yang sebelum ini tewas dua perlawanan EPL berturut-turut kepada Wolverhampton Wanderers dan Arsenal.

Alvarez membuka jaringan pada minit ketujuh selepas menerima hantaran daripada Jeremy Doku.

City menguasai sepenuhnya pada separuh masa pertama dan Haaland mengambil kesempatan daripada kesilapan dilakukan pertahanan Brighton untuk meledak gol kedua City selepas 19 minit.

City sepatutnya menambah jumlah jaringan tetapi Brighton pula yang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Ansi Fati pada minit ke-73 dan City pula terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Manuel Akanji dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan.

Akanji akan terlepas perlawanan derby menentang Manchester United minggu depan.

City juga berjaya mencipta rekod baharu kemenangan ke-21 berturut-turut di tempat sendiri dalam semua pertandingan.

“Kami menderita selama 20 minit dan pada penghujungnya kami sangat lega dengan kemenangan ini.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kekalahan (kepada Wolves dan Arsenal) ia adalah persembahan penting. Penghargaan yang saya berikan kepada (pengurus Brighton) Roberto (de Zerbi), mereka adalah luar biasa. Saya memberi kredit kepada pasukan untuk kemenangan ini,” katanya.

Doku sekali lagi diberikan peranan berbanding Jack Grealish yang masuk sebagai pemain gantian dan kepantasan serta kelincahan pemain Belgium itu menjadi ancaman kepada Brighton.

“Dia (Doku) seorang pemain sayap yang luar biasa. Saya sangat gembira dengan impaknya sejak dia menyertai kami," katanya.