'Tiada guna bajet besar tapi lambat' - MP Sepanggar

Mustapha dalam sidang akhbar ketika lawatan kerja ke Kolej Teknikal Yayasan Sabah Kampus Likas Kota Kinabalu pada Sabtu.
Mustapha dalam sidang akhbar ketika lawatan kerja ke Kolej Teknikal Yayasan Sabah Kampus Likas Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berharap peruntukan sebanyak RM6.6 bilion untuk pembangunan di negeri ini menerusi pembentangan Belanjawan 2024 dapat disalurkan segera pada tahun hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, peruntukan itu walaupun besar namun jika tidak disalurkan dengan segera ia akan melambatkan proses pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, peruntukan itu adalah manifestasi dukungan Kerajaan Perpaduan dalam menyeimbangkan pembangunan antara wilayah semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan ini perlu disalurkan dengan segera agar pelaksanaan projek dapat dimulakan seawal mugkin.

"Tidak guna bajet besar tapi lambat, kalau awal supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan.

"Peruntukan pemberian khas tahun depan sebanyak RM300 juta berbanding RM125.6 juta bagi Sabah pada tahun lalu adalah juga sebahagian usaha kerajaan Persekutuan memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 112D," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kolej Teknikal Yayasan Sabah Kampus Likas di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai isu masalah air yang kritikal di negeri ini termasuk di Sepanggar, Mustapha berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama dengan Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya susulan Sabah turut menerima peruntukan bagi menyelesai isu air.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan dijangka November ini Loji Rawatab Air (LRA) Telibong 2 akan siap jadi 30 peratus daripada air yang dihasilkan dari LRA itu akan dipam ke paip sedia ada dan ini akan mengurangkan isu yang berlegar di Sepanggar ini.

"Tetapi isu yang sebenarnya ialah kalau loji baharu sepatutnya ia ada paip yang baharu tetapi semua paip berkenaan belum siap.

"Jadi apa yang kita lakukan ialah hanya sebahagian air dapat disalurkan.

"Tidak boleh semua kerana jika tekanan tinggi akan menyebabkan paip lama pecah," jelasnya.

Walaupun begitu, Mustapha berkata, ia sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan isu air yang kritikal melanda di negeri ini termasuk di kawasannya.