Pura-pura nak beli, lelaki larikan rantai leher RM58,000

Tangkap layar hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut yang memaparkan suspek melarikan rantai leher di sebuah kedai emas di Mentakab pada Jumaat.
Tangkap layar hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut yang memaparkan suspek melarikan rantai leher di sebuah kedai emas di Mentakab pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Sebuah kedai emas kerugian RM58,000 selepas seorang lelaki melarikan seutas rantai leher seberat 195.35 gram dalam kejadian di Jalan Temerloh-Mentakab di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 40-an yang memakai baju warna gelap datang seorang diri.

Menurutnya, suspek kemudiannya berurusan dengan jurujual berusia 27 tahun dengan tujuan hendak membeli barang kemas.

"Semasa berurusan dengan pengadu, suspek telah mencuba seutas rantai leher berharga RM20,000 sebelum meminta mangsa mengeluarkan rantai lebih besar.

"Mangsa kemudiannya telah berikan seutas rantai leher berharga RM58,000," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Mazlan, suspek kemudian menyerahkan semula kedua-dua utas rantai sebelum meminta mangsa menyerahkan rantai leher berharga RM58,000 semula.

Jelas beliau, sebaik mangsa serahkan, suspek terus mengambil rantai leher berkenaan dan terus berlari keluar dari kedai melarikan diri.

"Mangsa cuba mengejar dan mendapati suspek telah beredar menaiki sebuah kereta jenis Honda City yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Artikel Berkaitan:

"Tempat kejadian tidak mempunyai pengawal keselamatan. Semasa kejadian, terdapat juga pelanggan lain," tambah Mazlan.

Jelas Mazlan, siasatan secara menyeluruh akan dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.