Padah miliki lebih 19,000 bahan lucah kanak-kanak

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah menyimpan lebih 19,000 dokumen berupa video dan gambar lucah kanak-kanak, Mei lalu.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah menyimpan lebih 19,000 dokumen berupa video dan gambar lucah kanak-kanak, Mei lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyimpan lebih 19,000 dokumen berupa video dan gambar lucah kanak-kanak, Mei lalu.

Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Ming Hui, 24, yang mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai ubat tradisional didakwa mempunyai dalam milikannya suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu satu unit pemacu pena (pendrive) mengandungi video dan gambar melibatkan kanak-kanak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2 Langkap dalam daerah Hilir Perak sekitar jam 4.20 petang pada 29 Mei 2023.

Tertuduh yang diwakili Peguam Jude Pereira memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan merupakan kesalahan pertama dan telah insaf.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Pada prosiding sama, Pereira turut memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya membuat rayuan, namun permohonan itu ditolak dan mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia disabitkan bersalah iaitu pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Langkap.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis membuat rampasan barang kes iaitu sebuah komputer riba, satu unit adaptor komputer dan satu unit pemacu pena.

Berdasarkan siasatan, didapati terdapat sebanyak 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar kanak-kanak pornografi di dalam pemacu pena yang dirampas di tempat tinggal dan juga dalam milikan tertuduh.