Kritikan Tun M terhadap India tidak jejaskan negara

Jumaat lalu, Dr Mahathir sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India. Gambar kanan: Dr Ahmad Marthada
Jumaat lalu, Dr Mahathir sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India. Gambar kanan: Dr Ahmad Marthada
A
A
A

SHAH ALAM - Kritikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) di India dijangka tidak memberi implikasi besar kepada Malaysia.

Dr Mahathir menyuarakan pandangan beliau itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, Jumaat lepas.

Sebelum ini pada September lalu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), Dr Mahathir pernah mengkritik India berhubung konflik Kashmir dan Jammu.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kedua-dua kenyataan Dr Mahathir terhadap India itu dibuat di pentas yang berbeza.

"India mengambil tindakan menyekat pengimportan kelapa sawit dari Malaysia kerana Dr Mahathir membangkitkan mengenai konflik Kashmir dan Jamu di pentas UNGA.

"Bagaimanapun berkenaan penggubalan CAA, kritikan Dr Mahathir hanya di peringkat dalam negara sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: India panggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bantah kenyataan Tun M

"Memang ada kesan kepada Malaysia tapi saya jangka ia tidak akan memberi implikasi besar selain tindakan India memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia. Ini perkara biasa," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Marthada berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung akta itu adalah wajar selaras dengan penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang membincangkan mengenai isu umat Islam.

Menurutnya, meskipun Malaysia sebuah negara yang berpegang kepada prinsip tidak mencampuri dalaman negara lain namun tindakan keterlaluan terhadap umar Islam perlu disuarakan.

"Misalnya isu Rohingya. Dr Mahathir bawa isu ini di peringkat antarabangsa maka ramai pihak anggap ia satu perkara yang wajar.

"Apabila India meluluskan penggubalan CAA, dunia luar terutama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak bersuara memberi komen terhadap penindasan dan diskrimasi umat Islam di negara terbabit.

"Kenyataan Dr Mahathir kali ini tidaklah terlalu keras malah India juga sekarang berhadapan prostes yang tidak berkesudahan susulan daripada penggubalan akta tersebut," katanya.

Malaysia tidak perlu memohon maaf sebaliknya kekal dengan pendirian Perdana Menteri yang mengkritik penggubalan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) oleh kerajaan India.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerajaan India seharusnya lebih matang dan bertanggungjawab menegakkan undang-undang di negara itu dengan berpaksikan keadilan, hak asasi dan kesaksamaan.

Menurutnya, ABIM berpendirian dalam konteks mendokong prinsip keadilan sejagat atas dorongan manusiawi.

"Mana-mana pihak berhak malah bertanggungjawab untuk menegakkan hak golongan yang ditindas tanpa mengira warna kulit.

"Pada masa sama, kerajaan India harus lebih sensitif apabila menyentuh isu kepelbagaian agama terutama apabila berkaitan dasar yang jelas menindas umat Islam.

"Sebab itu sudah tentu negara Islam di dunia seperti Malaysia akan terpanggil untuk membela dan mempertahankan hak umat Islam di India yang berterusan menjadi mangsa penindasan dan kekejaman kerajaan Modi," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Faisal berkata, ABIM mengulangi gesaan menuntut kerajaan India untuk menghormati hak umat Islam di India khususnya Kashmir dengan mengembalikan hak autonomi dengan erti kata sebenar buat penduduk Islam di Kashmir.

Jumaat lalu, Dr Mahathir sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India.

"Saya kesal India yang mendakwa merupakan sebuah negara sekular, kini mengambil tindakan untuk menafikan hak kewarganegaraan sebilangan rakyatnya beragama Islam.

"Ramai yang menderita disebabkan undang-undang ini," kata Dr Mahathir.

Seorang pegawai rasmi kerajaan India dipetik berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak selaras dengan amalan diplomatik yang menetapkan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

"Malaysia diminta mengambil pandangan jangka panjang dan strategik mengenai hubungan dua hala," katanya memetik laporan akhbar Times of India.