'Utamakan aspek kekuatan, pembangunan ekonomi domestik'

Sumber gambar yang dikongsikan menerusi siaran di Facebook Noor Azlan (Gambar kecil) pada Khamis.
Sumber gambar yang dikongsikan menerusi siaran di Facebook Noor Azlan (Gambar kecil) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meletakkan keutamaan dari aspek kekuatan dan pembangunan ekonomi domestik sebagai matlamat utama untuk ketahanan jangka panjang.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ia berikutan status ekonomi global merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi sesebuah negara.

“Perisai ekonomi negara mesti diperkukuhkan. Kekuatan pelabur tempatan dan jumlah serta kualiti pelaburan domestik mesti ditingkatkan.

“Tahap pendapatan rakyat perlu ditingkatkan dan kerentanan isi rumah mesti ditangani.

“Kedudukan fiskal mesti segera dikembalikan kestabilannya agar boleh bertindak sebagai penyerap kesan kelembapan ekonomi global,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Pada Khamis, media melaporkan mata wang tempatan menyusut nilai pada 4.7615/7650 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan Rabu pada 4.7445/7485.

Ujar Noor Azlan, trend penyusutan itu pasti memberi kesan ke atas beberapa aspek ekonomi negara.

Menurutnya, dalam konteks pelancongan dan eksport, ia menjadikan Malaysia lebih 'murah' namun, manfaat itu amat bergantung kepada status ekonomi negara dan masyarakat global yang membeli pelancongan dan barangan negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kadar tukaran hari ini menyusut kepada RM4.76 per dolar AS. Tahap terendah Ringgit.

“Prestasi ekonomi global dan negara-negara maju, umumnya dijangka lembap untuk tahun ini dan 2024.

“Pertumbuhan ekonomi dunia dan negara-negara maju diunjur lebih rendah pada tahun akan datang, iaitu 2.9 peratus dan 1.4 peratus. Permintaan global tidak memberangsangkan,” ujarnya.

Ulas beliau, ekonomi global digugat oleh pelbagai cabaran di sebalik prestasi ekonomi pasca krisis pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Inilah yang diungkapkan oleh Perdana Menteri di Majlis Penutup Khazanah Megatrends (KMF) 2023 baru-baru ini ‘simultaneity’ atau ‘keserentakan’ krisis dan masalah global, mencabar dan menggugat prestasi ekonomi negara-negara membangun, termasuk Malaysia.

“Status geo-politik yang tegang, peperangan Ukraine-Rusia dan terkini keganasan di Palestin, serta ketegangan hubungan dagangan AS-China memberi kesan ke atas rantaian bekalan global.

“Status kelestarian alam dan iklim yang semakin merosot memberi impak ke atas pengeluaran makanan global. Sebagai negara pengimport makanan, ini membimbangkan,” jelasnya.