Suka berhutang tapi liat bayar hutang

Berhati-hatilah apabila berhutang dan jangan sesekali culas untuk melunaskannya.
Berhati-hatilah apabila berhutang dan jangan sesekali culas untuk melunaskannya.
A
A
A

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, hutang boleh didefinisikan sebagai wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain.

Berhutang ini pula ada pelbagai jenis ada yang berhutang dengan kawan-kawan, sanak saudara, mahupun dengan bank. Tetapi antara berhutang dengan bank dan juga orang terdekat, sudah pasti dengan orang terdekat lebih mudah bukan? Tidak perlu sebarang dokumen atau tempoh menunggu. Namun benarkah masyarakat kita suka berhutang tetapi liat untuk bayar hutang apatah lagi apabila berhutang dengan orang terdekat?

Mari kita hayati bait-bait lagu Hutang nyanyian Floor88 ini terlebih dahulu:

"Cerita zaman dulu

Pak kaduk gadai tanah

Dia laga ayam bukan kepunyaannya

Cerita zaman sekarang

Kau yang guna duit orang

Artikel Berkaitan:

Pabila pecah tembelang

Lari lintang pukang

Kau tak mampu bayar sekupang-pang

(Alakazam)

Pok amai-amai belalang kupu-kupu

Bayar duit aku yang semua kau sapu

Kambing biri-biri ala sudah datang dari Jawa

Mana kau nak lari bawa duit tu ke mana"

Lirik lagu ini berbaur sindiran dan ditujukan kepada si penghutang yang tidak mampu membayar wang yang dipinjamnya malah bertindak melarikan diri. Ya, inilah hakikat yang dihadapi oleh si pemiutang atau orang yang memberi hutang pada zaman sekarang.

Penulis ingin berkongsi sebuah kisah yang dilalui oleh seorang rakan penulis. Ayahnya sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. semasa hayatnya ayahnya seorang yang sangat murah hati, pantang rakan-rakan menyuarakan hasrat untuk meminjam wang, pasti akan diberikan dengan senang hati.

Walau bagaimanapun, rakan-rakan ayahnya tidak pernah membayar semula wang yang dipinjam sehinggalah ayahnya meninggal dunia. Bukan sedikit wang yang dipinjam, ada yang mencecah belasan ribu ringgit.

Sekarang rakan penulis dan adik-adiknya sudah menjadi yatim piatu, namun tidak ada seorang pun rakan ayahnya yang tampil membayar hutang berkenaan. Jika sebelum ini semasa nak meminjam wang boleh pula hari-hari datang ke rumah. Apabila dah dapat, batang hidung pun tidak nampak.

Setidak-tidaknya jika hutang itu dibayar dapat juga rakan penulis menggunakan wang itu untuk kelangsungan hidup mereka adik-beradik.

Sebenarnya, banyak lagi cerita yang penulis dengar tentang hutang ini, ada yang berjanji hendak bayar bulan hadapan tetapi sudah masuk lima tahun satu sen pun belum dibayar.

Tidak takutkah penghutang ini dengan balasan di akhirat kelak?Seandainya tidak mampu membayar sekali gus hutang itu, bayarlah sedikit demi sedikit, itu antara adab orang yang berhutang.

Malah, setiap hutang manusia di dunia tetap perlu dilunaskan sekalipun kita sudah meninggal dunia. ‘Pertalian’ dengan orang yang kita berhutang itu tetap ada.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jiwa seorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hinggalah hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Sebahagian ulama menyatakan, apa yang dimaksudkan dengan hutang sesama manusia itu ialah hutang yang sengaja tidak dibayar. Ketika itu, seseorang itu akan terus menanggung dosa sehinggalah dia menghadap Allah SWT.

SH: Rekodkan hutang

Kepada penghutang jangan sesekali melarikan diri daripada individu yang anda berhutang sebaliknya berhadapan dengan mereka dan jelaskan situasi sebenar anda.

Sekiranya tidak mampu untuk menjelaskan keseluruhan hutang berkenaan, bayarlah sedikit demi sedikit secara ansuran dan paling penting rekodkan segala hutang.

Menurut pendakwah Ustaz Hadi Talhah dalam wawancaranya bersama Sinar Harian sebelum ini, Islam menggariskan beberapa panduan ketika berhutang. Mereka yang berhutang disunatkan untuk menulisnya sebagai rekod.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya...” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Jelas agamawan itu, tujuan hutang berkenaan ditulis supaya ada bukti bagi mengelakkan berlaku pertelingkahan pada hari akan datang.

Menurutnya, selain rekod ada juga saksi dua orang untuk menyaksikan hutang itu dilaporkan supaya tidak timbul perbalahan di belakang hari.

Selain itu, penghutang itu sendiri perlu ada kesedaran untuk membayar semula wang terbabit. Disiplinkan diri supaya utamakan bayar hutang dari perkara lain yang tidak penting seperti membeli belah dan bercuti.

Sementara itu, kepada pemiutang pula jangan terburu-buru menggunakan media sosial untuk menuntut hutang anda.

Tindakan seperti mendedahkan kad pengenalan, gambar individu dan lain-lain butiran peribadi membuka peluang kepada si penghutang mengambil tindakan dengan menyaman anda.

Sebaiknya jika anda mempunyai bukti yang lengkap dan jumlah tuntutan hutang di bawah RM5,000 anda boleh menggunakan undang-undang dengan membuat tuntutan kecil di Mahkamah Sivil tanpa peguam dengan kos perbicaraan kurang RM100.

Menggunakan undang-undang untuk menuntut hutang lebih berkesan berbanding menularkannya di media sosial. Mungkin tindakan ini akan menjejaskan tali silaturahim yang terjalin. Namun jika kedua-dua pihak bijak mengendali emosi dan situasi silaturahim terbabit masih boleh diselamatkan.

* Roshila Murni Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara