Masa depan Muslim di India samar-samar

Kumpulan penunjuk perasaan membawa bendera kebangsaan di hadapan Masjid Jama ketika demonstrasi membantah undang-undang kerakyatan di New Delhi.
Kumpulan penunjuk perasaan membawa bendera kebangsaan di hadapan Masjid Jama ketika demonstrasi membantah undang-undang kerakyatan di New Delhi.
A
A
A

NEW DELHI - Rikat Hashmi seorang penuntut universiti menjelaskan kenapa dia berasa cemas dengan masa depannya sebagai seorang India Muslim.

Seperti kebanyakan orang Islam di India, kini dia sering tertanya-tanya tentang nasibnya pada masa akan datang.

Adakah dia akan dinafikan pekerjaan kerana agama? Adakah dia akan diusir dari rumahnya? Adakah dia akan dibunuh kumpulan perusuh? Adakah ketakutan itu akan berakhir?

“Bersabarlah,” kata ibu Rikat selepas kejadian keganasan di kampus universiti, Jamia Millia Islamia di ibu negara.

Penuntut di universiti tersebut didakwa dipukul pihak berkuasa untuk menghentikan mereka mengadakan protes terhadap undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang diluluskan kerajaan pada 11 Disember lalu.

Akta Pindaan Kerakyatan (CAA) tersebut mencetuskan kemarahan banyak pihak berikutan ia membuka laluan kepada rakyat teraniaya bukan Islam dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan untuk mendapatkan kerakyatan.

Orang Muslim dikecualikan dan ia jelas satu bentuk diskriminasi terhadap golongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 1.9 juta penduduk di Assam kehilangan kerakyatan menerusi pengumuman dibuat kerajaan pada Ogos lalu.
Kira-kira 1.9 juta penduduk di Assam kehilangan kerakyatan menerusi pengumuman dibuat kerajaan pada Ogos lalu.

Menurut Rikat yang sedang melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang pergigian di universiti itu, dia hanya pernah menyaksikan demonstrasi aman.

Kini, dia menjadi mangsa tindakan kekerasan polis selepas protes di universiti tersebut bertukar ganas.

“Saya masih ingat bagaimana polis menyerbu hostel kami. Kami terus mematikan lampu dan bersembunyi. Saya terselamat pada masa itu. Tetapi, apa yang jelas, tidak kira anda suarakan kritikan atau tidak. Anda tetap jadi sasaran kerana anda adalah orang Muslim,” ujarnya.

Rikat turut mengimbas semula cerita ketika zaman kanak-kanaknya.

“Lena saya sering dikejutkan dengan lagu keagamaan Hindu. Ini kerana kami satu-satunya keluarga orang Islam yang tinggal di kawasan kejiranan majoriti penganut Hindu di negeri Orissa tersebut,” jelasnya.

Menurut gadis itu, mereka sering meraikan perayaan bersama jiran yang lain tidak kira ketika sambutan Aidilfitri atau festival keagamaan Hindu.

Kumpulan pelajar di Universiti Jamia Millia Islamia di New Delhi bertempur dengan pihak berkuasa pada minggu lalu.
Kumpulan pelajar di Universiti Jamia Millia Islamia di New Delhi bertempur dengan pihak berkuasa pada minggu lalu.

Islamofobia sedang meningkat

Situasi yang semakin tegang menyebabkan Perdana Menteri, Narendra Modi menggesa rakyat supaya bertenang.

“Ini adalah masa untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan persaudaraan. Mereka yang membakar dan merosakkan harta benda boleh dikenal pasti menerusi pakaian mereka,” katanya di hadapan penyokongnya.

Pemimpin nasionalis tersebut tidak memperincikan tentang ‘pakaian’ itu, namun Rikat melihat ia seperti satu bentuk serangan terhadap agama.

‘Saya berusia 16 tahun ketika mula memakai tudung dan saya dikelilingi ramai rakan berhijab selepas melanjutkan pengajian di Universiti Aligarh Muslim. Jadi, saya memutuskan untuk terus bertudung,” jelas gadis itu lagi.

Pada usia 22 tahun, Rikat berasa sudah tiba masanya untuk beliau bersuara tentang dasar diskriminasi di negara itu.

“Tetapi, saya digelar ‘antinasional’ dan ‘anti-Hindu’ apabila cuba untuk memperjuangkan perkara itu dan mereka mula menggunakan isu Hindu-Muslim sebagai cara menutup mulut kami. Kita berada di era baharu yang berbahaya yang mana agama dan nasionalisme saling berkaitan.

“Kadangkala saya rasa orang sekeliling akan memandang sinis hanya kerana saya berhijab,” tambahnya.

Ia mungkin dianggap sebagai ketakutan tidak rasional, namun hakikatnya atmosfera Islamofobia sedang merebak.

Parti pemerintah secara terang-terangan menyokong ideologi nasionalis Hindu dan beberapa undang-undang diskriminasi agama manakala kumpulan pelampau diberi kuasa untuk melakukan jenayah kebencian terhadap orang Islam yang mana populasi Muslim kini mencecah 200 juta orang di India.

Orang Islam di India terus berdepan diskriminasi selepas Islamofobia merebak dengan cepat di negara itu.
Orang Islam di India terus berdepan diskriminasi selepas Islamofobia merebak dengan cepat di negara itu.

Nasihat ibu

Ketakutan terus meningkat dan orang Islam tidak boleh bersuara walaupun keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk jika kerajaan meluluskan satu lagi undang-undang yang memerlukan penduduk membuktikan kerakyatan mereka.

Menteri Perumahan telah berjanji kelulusan itu akan dibuat sebelum Pilihan Raya Umum pada 2024.

Buat masa ini, Rikat akan terus menunggu berikutan gadis itu tidak dapat pulang ke pangkuan keluarganya di bandar yang teruk dilanda protes.

Apabila ketakutan datang, Rikat akan sentiasa mengingati kata-kata ibu, ‘Sentiasa bersabar dan terus bertahan’. - Agensi