Suami meninggal, anak pula jatuh sakit

Alya dipangku ibunya kini menumpang di rumah saudaranya.
Alya dipangku ibunya kini menumpang di rumah saudaranya.
A
A
A

MACHANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada ibunya apabila tidak lagi mampu berjalan seperti rakan-rakan lain.

Nur Alya Mohd Sufian kini terbaring dan hanya mampu mengukir senyum jika disapa dan diusik ibu atau saudara mara yang menziarahinya.

Menurut ibunya, Aishah Othman, 50, Alya pada mulanya diserang demam panas yang teruk sehingga dia dikejarkan ke hospital kerana keadaan yang sangat kritikal.

"Alya demam panas pada hari ke-39 arwah bapanya meninggalkan kami. Saya juga terpaksa melupakan hasrat untuk menguruskan jamuan tahlil 40 hari untuk arwah kerana terpaksa berkejar ke hospital.

"Mujurlah ketika itu ibu saudara arwah membantu menguruskan majlis. Memang sedih sebab saya sebagai isteri baru sahaja kehilangan suami kini anak pula tidak mampu berjalan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman saudaranya di Kampung Selimbar, Muka Bukit di sini.

Alya hanya mampu terbaring.
Alya hanya mampu terbaring.

Aishah berkata, suaminya meninggal dunia akibat sakit jantung pada Ogos lalu dan selepas itu dia mengambil alih semua tugasan menjaga Alya.

Sejak lima bulan lalu, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mampu bangun dan makan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Aishah yang bekerja di kedai makan mengakui perbelanjaan tidak mencukupi untuk membeli susu dan lampin pakai buang kerana terpaksa bercuti untuk menjaga Alya.

Katanya, sebelum ini Alya berada dalam keadaan koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Keadaan semakin perit apabila kediaman mereka bocor teruk sehingga memaksa keluarga itu menumpang di rumah ibu saudara arwah bapa Alya.

"Sekarang musim tengkujuh. Saya tidak ada duit untuk membaiki kebocoran itu. Sebab itu saya menumpang di rumah mak saudara arwah," katanya.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Ketua Unit Media dan Komunikasi Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid.

Aishah berkata, dia akan mengajar anak sulungnya, Mohd Shahnizam, 19, untuk menguruskan Nur Alya sementara dia keluar mencari rezeki.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Agro Bank bernombor 2-00-6681-00002829-8 atas nama Aishah Othman atau boleh menghubunginya di talian 01129382120.