Penagih serang polis direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

GERIK - Lelaki yang menyerang seorang anggota polis menggunakan kapak dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit dekat Felda Bersia pada Selasa direman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret P Prabakaran di Hospital Taiping berikutan suspek yang berusia 31 tahun sedang mendapatkan rawatan akibat terkena tembakan di bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, tempoh reman bermula Rabu hingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Tambah beliau, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian melaporkan suspek yang juga seorang penagih dadah bertindak menyerang anggota berpangkat koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik yang sedang menjalankan Op Tapis di kawasan terbabit.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, anggota berkenaan mengalami kecederaan di bahu kanan akibat terkena libasan kapak selain bengkak kepala.

Pemeriksaan lanjut menemukan cebisan tumbuhan kering disyaki ganja dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dalam poket seluar suspek.

Artikel Berkaitan: