Koperal diserang lelaki bersenjatakan kapak

Anggota berkenaan cuba menangkap suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan melibas kapak ke arah mangsa. - Gambar hiasan
Anggota berkenaan cuba menangkap suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan melibas kapak ke arah mangsa. - Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Seorang anggota polis cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan kapak dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit dekat Felda Bersia, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, anggota berpangkat koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik mengalami kecederaan di bahu kanan dan bengkak kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, insiden berlaku ketika anggota berkenaan bersama seorang lagi rakan berpangkat lans koperal menjalankan Op Tapis di kawasan itu.

Menurutnya, ketika melalui kawasan ladang, anggota berkenaan terserempak dengan suspek yang sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

"Suspek secara tiba-tiba telah menghentikan motosikal dan menghampiri anggota dengan membawa sebilah kapak di tangan kanan dan memegang parang di tangan kiri.

"Lelaki berusia 31 tahun itu bagaimanapun bertindak membuang parang ke tanah dan berlari ke arah anggota sebelum menyerangnya menggunakan kapak," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, anggota berkenaan cuba menangkap suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan melibas kapak ke arah mangsa.

Katanya, akibat serangan itu, anggota terpaksa melepaskan tembakan ke bahagian kaki suspek bagi tujuan mempertahankan diri.

Artikel Berkaitan:

"Semasa hendak melakukan tangkapan, suspek tidak memberikan kerjasama dengan melarikan diri hingga berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek kemudiannya menjumpai satu paket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

"Turut ditemui dalam poket seluar suspek, dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya.

Zulkifli berkata, suspek yang cedera telah dibawa mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Bersia sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.

Ujarnya, anggota yang cedera turut mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bersia dan berada dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.