Hub Logistik Antarabangsa bawa pelaburan hampir RM2 billion

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

PROJEK Hub Logistik Antarabangsa Shah Alam di Seksyen 16 di sini dijangka bakal membawa sejumlah pelaburan mencecah sehingga RM2 bilion.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek melibatkan keluasan seluas 28.73 hektar dijangka akan siap sepenuhnya pada 2028.

Beliau berkata, ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada 2,000 sehingga 5,000 penduduk di negeri itu dengan melengkapkan ekosistem sektor atau industri perkhidmatan di Selangor.

Jelasnya, sektor tersebut menyumbang kepada 60 peratus dan pertumbuhannya meningkatkan 13 peratus yang berpadanan dengan trend global khususnya negeri seperti Selangor.

"Sebenarnya, Selangor sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan atau pun beralih dari (sektor) pembuatan kepada perkhidmatan.

“Ini menunjukkan bagaimana sektor perkhidmatan terus kekal, menarik dan hebat dalam tempoh empat atau lima tahun. Ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh pandemik yang telah meningkatkan kualiti dan keperluan sektor perkhidmatan,” katanya ketika ditemui pemberitA selepas menyempurnakan majlis simbolik pecah tanah Hub Logistik Antarabangsa Shah Alam di Seksyen 16 di sini pada Isnin.

Beliau menambah kebenaran merancang dan pelan kerja tanah hub tersebut telah diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada bulan lalu.

“Perkara yang seterusnya kelulusan pelan bangunan lengkap yang berkemungkinan dalam tempoh sebulan lagi sebelum kerja pembinaan dilaksanakan dalam kadar segera,” katanya.