Tuntutan harta lebih RM2 bilion Jamaludin Jarjis gagal capai persetujuan

Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion oleh Kalsom terhadap empat anak dan ibu mentuanya, gagal mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur pada Isnin.
Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion oleh Kalsom terhadap empat anak dan ibu mentuanya, gagal mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion oleh balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya gagal mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin.

Susulan perkara itu, kes berkenaan diteruskan dengan perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid.

Dalam kes ini, Kalsom merupakan plaintif manakala empat anaknya iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah ialah defendan pertama hingga kelima.

Sementara itu, peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah berkata, semua pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes berkenaan.

"Oleh itu, mahkamah memutuskan kes ini diteruskan dengan perbicaraan dan 9 Oktober depan ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan," katanya kepada pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Pada prosiding ini, Kalsom diwakili peguam syarie, Datuk Sulaiman Abdullah.

Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 28 Ogos 2022, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.