Isu veteran tentera, scammer tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu scammer antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Rabu. - Gambar hiasan
Isu scammer antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Isu kelangsungan hidup veteran tentera, kempen beli barangan Malaysia dan penipuan atau scammer adalah antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, R. Yuneswaran (PH-Segamat) meminta Menteri Pertahanan menyatakan skop pemerkasaan sedang dilaksanakan secara menyeluruh terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup veteran angkatan tentera sama ada berpencen atau tidak berpencen, sejajar dengan penilaian semula menerusi Skim Perkhidmatan dan Persaraan Negara.

Yuneswaran mengemukakan soalan itu ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Isu kempen beli barangan Malaysia pula dibangkitkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan perkembangan terkini perancangan mengadakan kempen beli barangan Malaysia secara mega sebagai usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana terutamanya dalam situasi perniagaan berdepan cabaran kemelesetan ekonomi.

Dalam sesi sama, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meminta Perdana Menteri menyatakan kerugian dialami dan jumlah mereka yang menjadi mangsa scammer sejak awal tahun ini.



Persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan hari ketiga Belanjawan 2024, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober.

Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: