Baucar subsidi elak penerima salah guna bantuan

Pakar berpendapat pemberian baucar subsidi kepada rakyat lebih baik berbanding secara tunai. (Gambar kecil: Daaniyall)
Pakar berpendapat pemberian baucar subsidi kepada rakyat lebih baik berbanding secara tunai. (Gambar kecil: Daaniyall)
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah pemberian subsidi barangan dalam bentuk baucar disifatkan lebih baik berbanding secara tunai kerana boleh mengelakkan penerima menyalahgunakannya untuk membeli keperluan lain.

Pakar ekonomi, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, pemberian baucar itu adalah kaedah alternatif bantuan sara hidup kepada golongan B40 untuk membeli barangan asas.

“Mekanisme itu juga telah dilaksanakan di negara-negara maju untuk membantu golongan sasar membeli barangan keperluan harian.

“Baucar ini dilihat baik untuk membantu dan menyokong peruncit kecil terus memperkukuh ekonomi mikro.

“Kaedah serampang dua mata ini selain membantu golongan berpendapatan rendah secara bersasar, ia juga menyokong peniaga kecil tempatan meraih keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan dan memberi manfaat kepada warga asing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, menurut Muhammad Daaniyall, kerajaan disaran untuk mengumpulkan maklumat menerusi pangkalan data supaya agihan bantuan diberikan secara adil dan saksama.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan perlu kumpulkan maklumat isi rumah yang betul bagi memastikan mereka benar-benar daripada golongan rentan supaya subsidi bersasar ini diberikan secara adil.

“Kaedah berkenaan mampu mengelakkan ketirisan sekiranya kerajaan memberikan baucar secara terus kepada mereka supaya boleh menukarnya kepada barangan terpilih,” katanya.