Dasar gaji progresif bukan ‘silver bullet’ - Azlan

Azlan ketika dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
Azlan ketika dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Dasar gaji progresif bukan ‘silver bullet’ (peluru perak) dalam menyelesaikan masalah kekurangan kadar gaji dan upah pekerja di negara ini.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang berkata, ia bagaimanapun memerlukan kepada beberapa langkah lain termasuk saranan menerusi kajian dari institusi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu tersebut.

“Institusi seperti BNM banyak buat kajian mengenai isu gaji dan ini telah diterbitkan dalam laporan tahunan mereka.

“Banyak analisis yang bagus yang mana pada kita, itu adalah saranan-saranan kepada kerajaan berkenaan polisi untuk menaikkan gaji.

“Saya rasa bukan sahaja dasar gaji progresif perlu dilaksanakan tetapi kerajaan juga perlu ada idea jelas pada tahap mana gaji itu perlu dinaikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Azlan Awang
Azlan Awang

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Pengarah Bowergroup Asia, Hafidzi Razali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azlan berkata, perlu ada matlamat jelas sekiranya kerajaan hendak melaksanakan strategi kadar upah yang berkesan kepada rakyat.

“Sekarang ini (negara) belum ada. Adakah kita hendak naikkan (kadar gaji) pada 10 atau lima peratus? Adakah itu akan menyelesaikan masalah yang kita sedang hadapi sekarang.

“Kita telah pun cadangan bahawa contohnya pada tahun 2030, kita mengharapkan bahawa 90 peratus dari isi rumah boleh memperoleh lebih daripada ‘living wage’ atau gaji berpendapatan wajar.

“Jadi dengan itu, kerajaan rangka balik strategi dan tetapkan semula apa mekanisme atau tahap gaji yang perlu ditetapkan,” menurutnya.