Banjir di Tumpat terkawal

Ab Rashid (kiri) bersama pegawai meninjau paras air Sungai Golok ketika melawat kawasan di Balai Polis Kuala Jambu hari ini. - Foto Bernama
Ab Rashid (kiri) bersama pegawai meninjau paras air Sungai Golok ketika melawat kawasan di Balai Polis Kuala Jambu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Situasi banjir yang melanda di Tumpat sejak Jumaat lalu masih berada pada tahap terkawal dengan tiada penduduk dipindahkan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, walaupun paras air Sungai Golok di jajahan tersebut berada di paras amaran dengan bacaan 2.30 meter dan beberapa kampung digenangi air, namun air dilaporkan semakin surut.

“Sehingga pagi ini keadaan banjir di kawasan yang terjejas sudah bertambah baik dan air juga mulai surut namun penduduk masih dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Balai Polis Kuala Jambu dan sekitar laluan Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kaseben) di sini hari ini.

Katanya, antara beberapa penempatan yang terjejas adalah di Kampung Kuala Jambu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Teluk Jering dan Kampung Simpangan selain dua balai polis turut dinaiki air iaitu Balai Polis Kuala Jambu dan Balai Polis Simpangan.

“Apa yang kita khuatiri adalah jika berlaku air laut pasang besar berserta hujan berterusan yang mungkin akan menyebabkan paras air Sungai Golok kembali meningkat sekali gus menyebabkan banjir kembali berlaku.

“Kita juga menasihatkan kepada orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika perlu berpindah selain pihak kami juga sentiasa berhubung dengan penghulu kampung untuk mengetahui keadaan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ab Rashid berkata, Balai Polis Kuala Jambut terpaksa beroperasi di kawasan yang lebih tinggi selepas balai berkenaan dinaiki air sedalam 0.7 meter sejak banjir gelombang pertama tiga minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

“Kita terpaksa beroperasi di bangunan bersebelahan balai polis yang kedudukannya lebih tinggi untuk tujuan keselamatan dan pihak kami juga telah memindahkan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi,” katanya. - Bernama