Dua beradik menangis, berpelukan selepas terpisah hampir 2 dekad

Mazlan (berdiri tengah) bersama Faizah (duduk, tengah) dan Mohammad (duduk, kanan) dalam Program Mekar Jejak Identiti di DBD Jerantut pada Isnin. - Foto ihsan JPN Pahang
Mazlan (berdiri tengah) bersama Faizah (duduk, tengah) dan Mohammad (duduk, kanan) dalam Program Mekar Jejak Identiti di DBD Jerantut pada Isnin. - Foto ihsan JPN Pahang
A
A
A

JERANTUT - Dua beradik yang terpisah hampir 20 tahun lalu menangis kegembiraan apabila mereka ditemukan semula melalui bantuan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pahang pada Isnin.

Baharuddin Baki, 57, dan adiknya Mazlan, 51, menitiskan air mata dan berpelukan bagi melepaskan kerinduan yang terpendam selama ini.

Menurut Baharuddin, usaha mencari adiknya itu dilakukan bagi menyatukan semula ikatan keluarga terbabit.

"Saya pernah putus asa kerana gagal mencari adik. Tapi semalam (Isnin), ALLAH izinkan kami bertemu.

"Jadi, kegembiraan itu saya tidak boleh (hendak) digambarkan lagi. Kalau boleh saya mahu satu dunia tahu bahawa saya sudah berjumpa kembali dengan adik saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan JPN Pahang pada Selasa.

Kedua mereka dan keluarga bertemu di Program Ziarah Cakna dan Serahan Mykad Penghuni serta program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jejak Identiti di Desa Bina Diri (DBD) Jerantut.

Program itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran (Pengurusan), Faizah Jaarudin yang turut dihadiri Pengarah Mekar dan Korporat JPN Putrajaya, Syaida Noh.

Sementara itu, Pengarah JPN Pahang, Mohammad Abdullah berkata, aspirasi Mekar Jejak Identiti diadakan dengan kerjasama pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Pahang dan JPN Daerah Jerantut di DBD Jerantut pada 10 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut bagi menyelesaikan isu ketiadaan identiti diri melibatkan 59 penghuni institusi berkenaan.

Mohammad menambah, daripada jumlah tersebut, 28 penghuni telah berjaya dikenal pasti identitinya melalui semakan dengan penggunaan Mobile Terminal Unit (MTU).

"Hasil daripada program ini, bukan sahaja memberi kesan kepada pihak JPN dan DBD, malah berjaya memautkan kembali hubungan kekeluargaan yang terpisah selama 20 tahun.

"Pihak DBD telah berusaha dengan merujuk kes Baharudin kepada JPN Daerah Jerantut sebanyak empat kali dengan yang terakhir adalah pada Program Mekar Jejak Identiti pada 10 julai lalu berjaya membuahkan hasil," katanya.

Mohammad berkata, kisah Mazlan merupakan motivasi buat JPN Pahang untuk terus berbakti kepada semua lapisan masyarakat.

Justeru, JPN sentiasa prihatin dan akan terus komited dalam menjalankan aktiviti turun padang bagi memberi perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat selaras dengan slogan ‘Rakyat Di Hati JPN’.

"Maklumat lanjut berkenaan Program Mekar ataupun untuk mendapatkan janji temu bagi perkhidmatan ini, orang ramai boleh menghubungi talian telefon 03-8880 8014/7077 atau emelkan ke mekar@jpn.gov.my atau Unit Komunikasi Korporat JPN Negeri di talian 09-531 888/880," katanya.