Malaysia agresif kurangkan kebergantungan kepada dolar AS - PM

Anwar. Foto: Bernama
Anwar. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Vietnam dan Kemboja menunjukkan minat untuk berdagang menggunakan mata wang tempatan sebagai satu langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

"Malaysia merupakan negara ASEAN yang agresif mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan setakat ini kita mendapat sambutan.

"Malah kita baru sahaja memeterai perjanjian di Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini supaya negara-negara lain seperti Vietnam dan Kemboja ikut serta.

"Kedua-dua negara itu (Vietnam dan Kemboja) telah memberi perakuan melalui perjanjian Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) yang dimeterai baru-baru ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelasnya, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh juga telah mengarahkan rundingan penggunaan mata wang tempatan untuk urusan perdagangan dipercepatkan.

Vietnam merupakan rakan dagang ke-10 Malaysia.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai rancangan terkini berkenaan pendekatan pengurangan kebergantungan kepada dolar AS bagi menggalakkan perdagangan antara negara menggunakan mata wang ringgit dan sejauh manakah inisiatif ini disambut oleh negara-negara serantau.

Namun begitu, menurut Anwar beberapa negara pedagang utama negara seperti Singapura yang merupakan rakan dagang utama negara di ASEAN belum menunjukkan minat untuk berdagang menerusi penyelesaian mata wang tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Dolar AS masih ada kekuatan utama dalam perdagangan utama, jadi negara-negara memilih menggunakannya.

"Kemudian saya lihat tiada minat (daripada) Jepun, Hong Kong, dan Korea Selatan, (manakala) India masih mengenakan sekatan Rupee di luar negara melainkan untuk warganegara jadi rundingan mungkin mengambil masa," tambahnya.

Bagaimanapun, Anwar percaya kejayaan ASEAN dan China mengguna pakai mata wang tempatan dapat mendorong negara-negara lain untuk turut sama memanfaatkan penyelesaian berkenaan di tengah-tengah sentimen lebih kukuh terhadap dolar AS.

Beliau turut menyambut cadangan penggunaan mata wang dinar yang dianggap dapat memperkukuhkan perdagangan dan ekonomi dengan negara terlibat.

"Malah dengan peningkatan kepada lebih US$1 trilion industri halal, negara-negara Islam sudah maklum dengan keperluan (penggunaan) dinar, tetapi dari usaha sejak 90-an, sambutan serius belum ada.

"Ini antara tajuk kita akan rujuk semula dalam pertemuan tentang ekonomi dan kewangan Islam di Kuala Lumpur pada Disember," katanya.- Bernama