OPR bantu kenaikan kadar deposit simpanan kepada 0.96 peratus

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KADAR Dasar Semalaman (OPR) menyumbang kepada kenaikan kadar deposit simpanan sebanyak sembilan mata asas (bps) kepada 0.96 peratus pada akhir Julai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata, paras OPR telah diselaraskan pada Mei dengan kenaikan sebanyak 25 bps, seterusnya mengembalikan OPR kepada paras prapandemik iaitu 3.00 peratus dan dikekalkan sehingga September 2023.

"Dasar monetari akan terus berpandukan mandat bagi mencapai kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam jangka masa panjang.

"Dalam melaksanakan mandat ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kekal peka dengan perkembangan semasa dan bagaimana perubahan situasi domestik dan global akan memberikan kesan kepada keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan domestik," katanya.

Bagi ringgit, laporan itu berkata, ia bermula kukuh dengan peningkatan sebanyak 3.2 peratus dan ditutup pada RM4.2677 berbanding dolar AS pada akhir Januari, disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mencapai kadar terminal (neutral) dalam masa terdekat dan sentimen positif terhadap pembukaan semula sempadan China.

Bagaimanapun, ringgit mula mengalami beberapa siri penyusutan sejak pertengahan Februari hingga Ogos berpunca daripada pendirian yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah AS dan kelembapan pemulihan ekonomi China, kata laporan itu.

"Melangkah ke hadapan, nilai ringgit akan didorong oleh asas ekonomi Malaysia yang baik dan turut disokong oleh kitaran kenaikan kadar faedah Fed AS yang dijangka berakhir serta pemulihan ekonomi China.

"Memandangkan Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel, nilai mata wang tempatan akan terus ditentukan oleh pasaran dan prestasi ringgit akan dipengaruhi oleh perkembangan global dan domestik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi sektor perbankan pula, menurut laporan itu jumlah pinjaman terkumpul menyederhana sebanyak 4.2 peratus kepada RM2.06 trilion berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam segmen perniagaan.

Sementara itu, aktiviti pinjaman dalam sistem perbankan bagi semua kategori dalam segmen perniagaan dan isi rumah seperti permohonan, kelulusan dan pengeluaran pinjaman berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 3.6 peratus, 7.0 peratus dan 5.2 peratus.

Dalam segmen perniagaan, permohonan pinjaman berkembang sebanyak 6.8 peratus kepada RM310.3 bilion dan kelulusan pinjaman meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada RM183.5 bilion berikutan pengembangan aktiviti ekonomi.

Bagi segmen isi rumah, jumlah pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.4 peratus pada akhir Julai.

"Melangkah ke hadapan, Rangka Kerja Rangkuman Kewangan Kedua (2023 - 2026) sebagai pelan hala tuju strategik empat tahun yang dilancarkan pada Jun 2023 akan terus memajukan rangkuman kewangan dengan meningkatkan kesejahteraan kewangan dan taraf hidup rakyat.

"Kerangka ini melengkapi Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 (FSBP) dengan mengambil kira sudut pertumbuhan baharu yang baru muncul dalam perkhidmatan kewangan serta aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan tawaran Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (ESG)," katanya. - Bernama