KPT tumpu lahirkan graduan TVET bergaji lebih RM4,000

KPT telah melahirkan seramai 256,901 graduan TVET dari tahun 2018 sehingga 2023. - Gambar hiasan
KPT telah melahirkan seramai 256,901 graduan TVET dari tahun 2018 sehingga 2023. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan reformasi kepada politeknik di bawah kendaliannya selari dengan usaha memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperoleh gaji premium lebih RM4,000 sebulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT antara lain akan menjalin hubungan kerjasama lebih aktif dengan pihak industri dan menyediakan program baharu yang menepati keperluan negara serta industri TVET.

Menurutnya, setakat ini graduan lepasan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau Universiti Awam (UA) yang sudah menerima gaji premium adalah dalam lingkungan 10 peratus daripada keseluruhan graduan TVET di bawah KPT.

"Bagaimanapun, graduan lepasan UA dengan gaji RM2,500 ke atas adalah seramai 38 peratus, iaitu mereka yang mempunyai ijazah.

"Bagi lepasan politeknik, mereka yang menerima gaji premium RM4,000 ke atas dengan kelulusan diploma ialah 0.9 peratus, tetapi yang RM2,500 ke atas adalah 6.1 peratus. Sasaran kita bukan sahaja kebolehpasaran graduan tetapi untuk graduan TVET mendapat gaji premium," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin mengetahui kolaborasi KPT dalam memartabatkan graduan TVET daripada segi upah dan gaji yang dilihat sangat rendah.

Sementara itu, Mohamed Khaled memaklumkan, KPT telah melahirkan seramai 256,901 orang graduan TVET dari tahun 2018 sehingga 2023.

"Daripada jumlah tersebut, graduan universiti awam atau MTUN adalah seramai 71,825 orang manakala graduan politeknik dan kolej komuniti adalah seramai 185,076 orang.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah itu merangkumi 139,579 orang graduan politeknik, dan 45,497 orang graduan kolej komuniti," katanya.

Mohamed Khalid menambah, Kajian Pengesanan Graduan yang dilakukan oleh KPT menunjukkan purata kebolehpasaran graduan TVET dari universiti awam atau MTUN pada tahun 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 91.8 peratus.

"Daripada jumlah ini, 69.4 peratus graduan telah bekerja dan daripada jumlah responden yang telah bekerja ini sebanyak 60.9 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di universiti awam ataupun MTUN.

"Baki 14.9 peratus adalah graduan yang sedang melanjutkan pengajian, 3.1 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 4.3 peratus sedang menunggu penempatan pekerjaan," ujarnya.