X

Kindly register in order to view this article
!

Kerap tak ada air, aktiviti penduduk Subang Jaya terjejas

Penduduk menanti giliran bagi mengambil bekalan air yang disediakan Air Selangor.
A
A

SUBANG JAYA - Penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih yang terpaksa dihenti tugas berharap supaya permasalahan itu dapat diselesai secepat mungkin.

Hasil tinjauan Sinar Harian di Pusat Khidmat Setempat (PKS) USJ4, Jalan USJ4/5 mendapati rata-rata penduduk mula menyimpan bekalan air yang disediakan Air Selangor.

Menurut salah seorang penduduk di USJ2, Ahmad Shah Rosli, 40, berkata, bekalan air di kawasan berkenaan mulai rendah sejak petang semalam sekali gus menyukarkan masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti harian.

"Semalam kebetulan saya perlu bertugas menyediakan perkhidmatan katering dalam satu majlis dan bila gangguan bekalan air berlaku, ia menyukarkan saya.

"Pinggan dan perkakasan yang digunakan sewaktu majlis masih belum dicuci sehingga kini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air bermula semalam ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, LRA Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya dan menyebabkan 348 kawasan bakal terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual serta berskala besar.

Penduduk USJ4 menyimpan bekalan air yang disediakan di PKS oleh Air Selangor.
Penduduk USJ4 menyimpan bekalan air yang disediakan di PKS oleh Air Selangor.

Mengulas lanjut Ahmad Shah berkata, tekanan air rendah sejak semalam menyebabkan dia tidak sempat membuat simpanan bekalan tersebut menerusi tangki di rumahnya untuk kegunaan pada waktu kecemasan.

"Masalah seperti ini amat menyukarkan kami sebagai penduduk untuk menjalani kehidupan harian memandangkan air merupakan keperluan utama pada setiap hari.

"Disebabkan itulah kami harap isu ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu seorang penduduk di USJ3, Viraj Thomas, 45, berkata, pihak berkaitan perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah tersebut yang dilihat beberapa kali berlaku dalam tempoh setahun.

Viraj berkata, pihaknya memahami isu gangguan bekalan air pada kali ini adalah disebabkan oleh pencemaran bau namun perkara itu sewajarnya ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak bertanggungjawab.

"Isu pencemaran seperti ini bukan hanya kali ini berlaku dan sepatutnya pihak yang berkaitan kena bersiap sedia bagi menggelakkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!