Pemimpin, umat Islam perlu halang penindasan etnik Uighur

Penduduk Uighur memegang gambar ahli keluarga mereka yang hilang dan dipercayai ditahan di ‘kem pendidikan semula’. (Gambar kecil: Mohd Nasir Razak)
Penduduk Uighur memegang gambar ahli keluarga mereka yang hilang dan dipercayai ditahan di ‘kem pendidikan semula’. (Gambar kecil: Mohd Nasir Razak)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda Pas Terengganu menentang sebarang bentuk kekerasan, kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan terhadap umat Islam di seluruh dunia termasuk terhadap etnik Uighur .

Ketuanya, Mohd Nasir Razak berkata, penindasan yang berlaku secara sistematik ini merangkumi penindasan terhadap hak beragama, penyeksaan mental dan fizikal serta banyak lagi.

Menurutnya, ia merupakan satu penafian terhadap hak-hak kemanusiaan kerana kisah penindasan yang menimpa mereka bukanlah dongengan semata.

"Seluruh pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia perlu memberikan perhatian terhadap penindasan yang menimpa umat Islam Uighur.

"Menjadi kewajipan ke atas negara-negara umat Islam untuk berusaha sedaya mungkin bagi membantu mereka, sebagaimana usaha kita terhadap penindasan terhadap umat Islam di Palestin, Rohingya dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, Pemuda Pas Terengganu juga menyeru agar semua pihak mendoakan keselamatan dan kekuatan buat saudara Islam di sana, terutamanya dengan mengadakan Qunut Nazilah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mereka.

"Pemuda Pas Terengganu tetap teguh bersolidariti bersama dengan etnik Uighur," tegasnya.

Artikel Berkaitan: