Genggam sarjana pada usia 90 tahun

Azman (kanan) menyampaikan Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada Krishnan ketika Majlis Konvokesyen OUM ke-27
di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.
Azman (kanan) menyampaikan Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada Krishnan ketika Majlis Konvokesyen OUM ke-27 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun menginjak ke usia 90 tahun, namun ia bukan penghalang buat seorang bekas pengetua sekolah menengah, Krishnan Arunasalam untuk menggenggam ijazah pengajian peringkat sarjana daripada Open University Malaysia (OUM).

Lebih menarik lagi, Krishnan yang menjadi graduan tertua universiti itu turut menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat sempena Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu.

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat itu merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berumur lebih daripada 60 tahun atas prestasi kecemerlangan akademik dalam institusi tersebut.

Krishnan yang memperoleh ijazah dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan itu berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian di universiti tersebut meskipun usia lanjut.

Krishnan ketika ditemubual oleh wartawan Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu
Krishnan ketika ditemubual oleh wartawan Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu

“Saya dulu bekerja sebagai guru, kemudian pencen. Oleh sebab tidak tahu apa (aktiviti) nak buat, jadi saya tambah (sambung pelajaran).

“Oleh kerana isteri saya telah meninggal dunia, saya pula tinggal bersama anak-anak, jadi lebih baik sambung belajar sahaja.

“Lagipun OUM dekat sahaja (dengan rumah) sebab itu saya boleh jalan kaki dari rumah ke universiti,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Konvensyen OUM ke-27 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, ujar Krishnan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dia lebih gemar menghabiskan masa membaca dan menimba ilmu sebanyak yang boleh terutamanya berkenaan pelajaran statistik.

“Kalau boleh saya mahu ambil belajar (pembelajaran) statistik sebab dulu saya tidak belajar statistik. Saya memang minat subjek itu dulu,” ujarnya.

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat itu disampaikan oleh Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

Turut menerima anugerah berkenaan adalah Penasihat Rumah Ngaji Negeri Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim, 77, yang menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Psikologi.

Normah Hanum ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu
Normah Hanum ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu

Normah Hanum yang juga ibu mertua kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kursus yang dipelajarinya itu amat penting memandangkan beliau sering melibatkan diri dalam urusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ujarnya, minat mendalam dalam menimba ilmu serta sokongan dari ahli keluarga turut menjadi pendorong untuk beliau melanjutkan pelajaran di OUM.

Ulas Normah Hanum yang juga merupakan ibu kepada empat anak dan 12 cucu itu, semangat mengejar ilmu pengetahuan boleh dicapai oleh semua orang sama ada muda atau tua.

Jelasnya, disiplin diri dari segi pengurusan masa juga antara petua penting yang perlu diamalkan supaya dapat seimbangkan waktu antara pembelajaran dan urusan kerja.

“Masa (belajar) itu, saya memang ambil waktu yang tepat iaitu dari jam 8.30 hingga 10.30 malam. Jadi pembahagian masa itu ada.

“Urusan NGO, waktu siang. Waktu malam atau subuh, saya akan gunakan untuk belajar dan saya pergi kuliah seperti biasa,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor OUM, Profesor Dr Ahmad Izanee Awang berkata, konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula pada Sabtu itu berjaya menghimpunkan seramai 5,260 graduan melibatkan 14 program pembelajaran.

Normah Hanum (lima dari kanan) bergambar bersama ahli keluarga dan kenalannya selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu.
Normah Hanum (lima dari kanan) bergambar bersama ahli keluarga dan kenalannya selepas Majlis Konvokesyen OUM ke-27 pada Sabtu.

Menurutnya, bilangan graduan yang besar dalam konvokesyen tersebut membuktikan bahawa OUM adalah universiti pilihan terutamanya bagi warga kerja.

“Pendekatan OUM dalam menawarkan pembelajaran yang fleksibel membolehkan warga kerja meneruskan pengajian tanpa meninggalkan kerjaya.

“Program-program yang ditawarkan secara dalam talian sepenuhnya, membolehkan mereka belajar di mana-mana, pada bila-bila masa mengikut keselesaan masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, setelah hampir 23 tahun ditubuhkan, OUM kini mempunyai hampir 30,000 pelajar aktif dan telah melahirkan lebih 103,000 alumni.

“Sumbangan OUM telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak menerusi beberapa anugerah yang diterima pada tahun lepas antaranya Anugerah Emas di Putra Aria Brand Awards 2022 sebagai salah satu jenama yang paling dikenali dalam kategori pendidikan dan pembelajaran.

“Anugerah lima bintang dalam kategori pembelajaran dalam talian oleh Quacquarelli Symonds (QS) iaitu penarafan yang paling berpengaruh dan kredibel di seluruh dunia untuk universiti-universiti.

“OUM turut melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan sebuah universiti di Indonesia untuk menawarkan program pascasiswazah,” katanya.