Amang seksual: Mahkamah kekalkan keputusan bebaskan bekas pengetua

Mahkamah Tinggi pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan bekas pengetua sebuah sekolah menengah, Zainuren Mohamed, 59, (gambar) daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018. - Foto Bernama
Mahkamah Tinggi pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan bekas pengetua sebuah sekolah menengah, Zainuren Mohamed, 59, (gambar) daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan seorang bekas pengetua sebuah sekolah menengah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Fathiyah Idris terhadap Zainuren Mohamed, 59, selepas berpuas hati dengan hakim perbicaraan yang sebelum ini membuat penelitian yang maksima dan sewajarnya atas kesemua keterangan saksi pendakwaan.

"Meneliti keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6) dalam pemeriksaan utama dan balas bercanggah - wujud dakwaan siri kejadian amang seksual, tetapi apabila disoal balas SP6 mengakui kejadian-kejadian tidak berlaku.

"Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa perkara ini hanya boleh dikenal pasti oleh SP6, namun SP6 sendiri tidak dapat memastikan perkara berikut. Terdapat percanggahan dalam keterangan SP6," katanya semasa membacakan keputusan pada Rabu.

Katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainuren.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan Vikneshwaran Sehgar.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini membebaskan Zainuren daripada pertuduhan berkenaan pada 24 Mei tahun lepas.

Pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun serta meminta dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di Butterworth antara pukul 4 petang hingga 11.40 malam pada 6 April hingga 10 Oktober 2018. - Bernama