Bukit Aman gempur 4 premis hiburan saji tarian berahi

Sebahagian daripada 34 wanita disyaki penari merangkap GRO turut diperiksa dalam serbuan di empat pusat hiburan terbabit.
Sebahagian daripada 34 wanita disyaki penari merangkap GRO turut diperiksa dalam serbuan di empat pusat hiburan terbabit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggempur empat premis hiburan milik warga asing yang disyaki menyajikan tarian berahi bagi menarik perhatian pelanggan pada Ahad. Ketua Penolong Pengarah Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi itu dijalankan pada jam 2.50 pagi susulan maklumat dan aduan yang diterima.

"Siasatan mendapati premis berkenaan yang dipercayai beroperasi antara empat bulan hingga setahun lalu itu menyajikan tarian gelek oleh penari wanita warga asing untuk pelanggan yang kebanyakannya adalah lelaki warga Bangladesh dan Pakistan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Fadil berkata, faktor utama operasi ini adalah mengenal pasti sekiranya terdapat mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan kepada 'National Guideline on Human Trafficking Indicators' (NGHTI). "Dalam serbuan itu, kita menjalankan pemeriksaan terhadap 71 lelaki warga asing dan lapan lelaki tempatan yang juga pelanggan. "Turut diperiksa 34 wanita disyaki penari merangkap pelayan pelanggan (GRO) untuk empat pusat hiburan terbabit," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, seramai 37 individu ditahan kerana didapati melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen. "Berdasarkan maklumat sumber, premis yang dipercayai menjalankan aktiviti hiburan bermula jam 7 malam hingga jam 7 pagi itu turut disyaki mempunyai konsep hiburan tabur duit kepada penari wanita di atas pentas. "Sekiranya diberikan bayaran yang lebih tinggi, wanita asing ini sanggup menanggalkan pakaian mereka dan melayani pelanggan itu," katanya.

Beliau berkata, dua pengurus pusat hiburan warga Bangladesh dan seorang pekerja dari negara sama ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55B, Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Seksyen 12(1)(F) Akta Pasport. "Selain itu 33 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan yang merupakan pelanggan premis hiburan berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.

Artikel Berkaitan: