Dua pusat hiburan tawar GRO warga asing diserbu, 164 individu ditahan

Rusdi (tengah) mengadakan sidang media mengenai Op Noda di Bukit Aman, pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Rusdi (tengah) mengadakan sidang media mengenai Op Noda di Bukit Aman, pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 155 wanita, enam pondan dan tiga lelaki warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) diberkas dalam serbuan berasingan di dua pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, Johor dan di Taman Perindustrian Puchong Utama, Serdang, Selangor minggu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, Johor pada jam 12.45 malam, 12 Oktober lalu.

"Premis yang terletak di tingkat empat di kawasan rumah kedai itu beroperasi pada jam 8 malam hingga 4 pagi. "Premis itu berkonsepkan pusat hiburan live band dan kalung bunga, selain terdapat dua bilik karaoke dengan bayaran RM3,000 sebilik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Isnin.

Rusdi berkata, premis itu turut menyediakan perkhidmatan GRO warga Thailand, Laos dan Vietnam. "Harga bayaran untuk satu kalungan bunga antara RM100 hingga RM30,000, hasil serbuan kita berjaya menahan 85 wanita dan enam pondan berusia 19 hingga 51 tahun yang digajikan sebagai GRO," katanya.

Menurutnya, polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga Bangladesh yang berperanan sebagai pengurus, pembantu pengurus, juruwang dan pekerja di premis berkenaan. "Kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas 69 pelanggan di premis berkenaan," katanya.

Antara wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, pada 12 Oktober lalu.
Antara wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, pada 12 Oktober lalu.

Dalam serbuan berasingan, Rusdi berkata, seramai 70 wanita dan tiga lelaki warga asing berusia 19 hingga 44 tahun yang bekerja sebagai GRO ditahan oleh pasukan D7 JSJ Bukit Aman dalam serbuan di Taman Perindustrian Puchong Utama, Serdang, Selangor, pada jam 11.45 malam Sabtu.

"Premis pusat hiburan itu berkonsepkan pub terbuka dan karaoke, semasa serbuan, didapati seramai 70 pelanggan di dalam premis itu," katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pakej untuk bilik karaoke berharga RM 800 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz bilik manakala pakej GRO adalah RM100 sejam untuk seorang pelanggan yang dibayar terus kepada 'mummy'.

Artikel Berkaitan:

"Pakej minuman keras pula adalah RM150 dan untuk bayaran tips kalung bunga bermula dari RM50 hingga RM 500 dibayar kepada dua lelaki tempatan yang menjual kalung dari meja ke meja di dalam pub," katanya. Menurutnya, terdapat juga bayaran tips terus kepada GRO bergantung kepada pelanggan jika berpuas hati dengan layanan mereka.

"Kita turut menahan empat lelaki warga tempatan berperanan sebagai pengurus penjaga kaunter dan penjual kalungan bunga, selain dua lelaki yang bekerja sebagai 'bouncer' kerana disyaki terlibat dengan elemen pertubuhan kongsi gelap," katanya.

Rusdi berkata, hasil pemeriksaan dan saringan air kencing yang dibuat oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang mendapati 15 individu dan tujuh wanita yang juga pelanggan didapati positif dadah jenis ketamin. "Fokus utama kedua-dua operasi itu adalah membendung kegiatan aktiviti haram seperti menggajikan wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO," katanya.