Pesara rugi RM187,000 ditipu 'ASP Fahmi'

No Image Caption
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang pesara mengalami kerugian apabila wang bernilai RM187,000 miliknya lesap ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai Asisten Superintendan Fahmi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 56 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Disember lalu.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu mangsa kononnya terlibat kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah namun mangsa menafikannya.

"Lelaki tersebut menyambung panggilan tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan seorang lelaki lain memperkenalkan diri sebagai Asisten Superintendan Fahmi sebelum memberitahu mangsa akan ditahan kerana kegiatan jenayah tersebut.

"Lelaki tersebut kemudian meminta mangsa memindahkan kesemua wangnya ke dalam akaun diberikan sekiranya mangsa mahu menyelesaikan kes tersebut. Mangsa yang ketakutan memindahkan kesemua wangnya ke dalam beberapa akaun bank diberikan suspek," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Anbalagan berkata, mangsa membuat enam transaksi ke dalam enam akaun bank berlainan diberikan suspek berjumlah M187,000 termasuk kali pertama sebanyak RM50,000.

"Selepas memindahkan kesemua wang tersebut, suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran menyebabkannya tersedar bahawa dia ditipu sindiket Macau Scam.

"Mangsa terus membuat laporan polis malam ini (tadi) untuk siasatan dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan: