Mahasiswa Progresif UM tuntut pentadbiran ikut saranan Anwar

Mahasiswa Progresif UM menuntut pentadbiran institusi itu untuk bertindak sejajar dengan saranan Perdana Menteriyang tidak menyokong pelaksanaan dasar ‘zero balance policy’.
Mahasiswa Progresif UM menuntut pentadbiran institusi itu untuk bertindak sejajar dengan saranan Perdana Menteriyang tidak menyokong pelaksanaan dasar ‘zero balance policy’.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) menuntut pentadbiran institusi itu untuk bertindak sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menyokong pelaksanaan dasar ‘zero balance policy’.

Presidennya, Nurul Afrina Rosli berkata, sekiranya pentadbiran UM enggan bertindak sedemikian dan tidak memahami saranan Perdana Menteri, maka persatuan mahasiswa menggesa Naib Canselor wajar meletakkan jawatan.

Menurutnya, sebagai pentadbir di universiti terkemuka negara, Naib Canselor sepatutnya meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan sebelum melaksanakan sebarang polisi dan dasar yang ingin diperkenalkan.

“Kami kira sudah tiba masanya juga supaya Perkara 18(1) Peraturan-Peraturan UM (Ijazah Sarjana Muda) 2019 yang menuntut mahasiswa dan mahasiswi untuk melunaskan bayaran yuran pada permulaan pendaftaran setiap semester untuk dipinda.

“Ia bertujuan untuk menyahut arahan Perdana Menteri dan wajar ditukar kepada sistem pembayaran yang lebih kondusif iaitu pembayaran yuran sebelum peperiksaan akhir diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tidak mempunyai wang untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan.

Menurutnya, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

“Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nurul Afrina berkata, justifikasi untuk pindaan itu adalah pada rasional meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai teras pembikinan polisi universiti yang secara langsung atau tidak terkait dengan hal ehwal kebajikan para mahasiswa dan mahasiswi UM.

Tambahnya, pihak pentadbiran universiti kini mempunyai tanggungjawab untuk memansuhkan pelaksanaan dasar zero balance policy buat selama-lamanya dan meminda Perkara 18 (1) Peraturan-Peraturan UM (Ijazah Sarjana Muda) 2019.