Sindiket jual telefon pintar, pelaburan tidak wujud tumpas

Ashari
Ashari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menawarkan komisen antara RM200 hingga RM300 antara taktik dikesan susulan tangkapan melibatkan 44 individu dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan telefon pintar dan pelaburan tidak wujud menerusi serbuan ke atas dua unit kondominium di Jalan Razak di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, serbuan pertama melibatkan tangkapan 24 individu dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan telefon pintar secara dalam talian.

Beliau berkata, kesemua individu itu diberkas menerusi operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

"Tangkapan melibatkan 15 lelaki dan sembilan wanita warga tempatan berumur antara 20 hingga 38 tahun.

"Turut dirampas antaranya 10 unit komputer, 44 unit telefon bimbit dan dua unit terminal kad kredit serta debit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ashari berkata, serbuan kedua dijalankan melibatkan satu lagi unit kediaman di kondominium sama melibatkan tangkapan 20 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing.

"Kesemua individu ini terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita warga tempatan serta tujuh lelaki dan dua wanita warga asing.

"Semua suspek berumur antara 23 hingga 47 tahun ini ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud selain dikesan menyasarkan mangsa warga Dubai dan Myanmar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua sindiket ini telah beroperasi selama tujuh bulan.

"Kedua-dua sindiket ini dikesan menggunakan media sosial untuk mempromosikan penjualan telefon pintar dan pelaburan tidak wujud selain memperdaya mangsa dengan menawarkan komisen antara RM200 hingga RM300 bagi setiap penjualan telefon pintar.

"Turut dirampas 19 unit komputer riba, 27 unit telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah terbabit," ujarnya.

Beliau menasihat orang ramai agar melaporkan maklumat berkenaan sindiket penipuan menerusi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585.

"Selain itu sebarang maklumat juga boleh disalurkan menerusi CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, Whats App CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.