Ramai M40 sudah jadi miskin bandar

Golongan M40 semakin hari semakin terhimpit dengan suasana ekonomi dan isu sara hidup. - Gambar hiasan
Golongan M40 semakin hari semakin terhimpit dengan suasana ekonomi dan isu sara hidup. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan amat bersetuju bila kerajaan nak kaji semula berkaitan pengelasan B40, M40 dan T20 yang selama ini hanya tengok kepada pendapatan semata-mata.

Tambahan pula pergerakan gaji atau pendapatan golongan M40 tidak selaju pergerakan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan yang mencanak.

Jadi bila pengelasan itu berterusan dibuat berdasarkan angka pendapatan isi rumah semata-mata, golongan M40 semakin hari semakin terhimpit dengan suasana ekonomi dan isu sara hidup.

Pendapatan isi rumah M40 dalam lingkungan RM7,000 sehingga ke RM10,000 tapi hidup di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan juga Johor Bahru telah lama menjerumuskan mereka menjadi B40.

Faktor jumlah anak dan tanggungan juga perlu diambil kira dalam kalangan golongan M40 ini.

Kalau keluarga M40 yang berpendapatan isi rumah RM8,000 sebulan dengan enam anak yang masih belajar, mereka terpaksa membayar sewa rumah yang tinggi, kos pengangkutan, persekolahan dan perbelanjaan harian yang akhirnya akan jadi golongan yang tak berkemampuan. Sampaikan mereka tak ada tabung kecemasan kerana semua gaji sudah dibelanjakan.

Tambahan pula, setiap kali belanjawan dibentangkan golongan M40 sering tercicir insentif yang boleh membantu mereka menyeimbangkan pendapatan dan perbelanjaan. Selepas saja belanjawan diumumkan, golongan M40 akan bertanya, apa yang kami dapat?

Sebab itu Merak bersetuju bila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mahu membuat pendekatan menyeluruh dalam pengelasan golongan kerana ia akan berikan bacaan yang lebih tepat dan kerajaan dapat salurkan bantuan atau subsidi dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Merak percaya ramai golongan M40 mengalu-alukan usaha kerajaan ini dalam mengkaji semula kedudukan mereka dalam kelompok ekonomi negara. Berilah ruang kepada golongan M40 bernafas lega dalam himpitan kehidupan hari ini.