Najib tutup akaun selepas pindah RM162 juta wang haram hasil 1MDB - Saksi

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi. - Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menutup satu akaun miliknya di Ambank selepas memindahkan lebih RM162 juta iaitu wang haram hasil daripada dana 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) ke dalam akaun baharunya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min, 47, berkata, wang dari akaun yang berakhir dengan nombor 694 itu dipindahkan ke akaun yang berakhir dengan nombor 880 di bank sama melalui dua transaksi masing-masing RM150,000,000 dan RM12,436,711.87 pada 27 dan 30 Ogos 2013.

"Baki terakhir selepas transaksi ini adalah RM0.00. Akaun lamanya (694) ditutup pada tarikh yang sama iaitu pada 30 Ogos,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Sementara itu, Wei Min berkata, hasil siasatannya mendapati sejumlah RM2,034,350,000 telah dikembalikan semula kepada Tanore Finance Corporation di Singapura menerusi lima transaksi antara 2 Ogos dan 23 Ogos 2013.

"Merujuk kepada hasil siasatan, FIFO dan dokumen sokongan, terdapat pemindahan keluar wang haram hasil daripada 1MDB peringkat Tanore yang diterima oleh Datuk Seri Najib ke luar negara (akaun Tanore di Falcon Private Bank Limited) menerusi lima transaksi.

"Pemindahan itu susulan surat arahan Datuk Seri Najib bertarikh 30 Julai 2013 dan 21 Ogos 2013 dan pihak Ambank telah melaksanakan pemindahan dana sebanyak RM2,034,350,000 daripada akaun 694 kepada Tanore bersamaan dengan AS$620,000,000,” kata saksi itu.

Wei Min berkata, tujuan surat-surat tersebut adalah untuk memberi arahan kepada pihak Ambank supaya meneruskan transaksi pertukaran wang asing untuk kadar yang dipersetujui bagi nilai AS$620,000,000.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua lima transaksi dimasukkan ke JP Morgan Chase Bank untuk dikreditkan ke dalam akaun Tanore di Falcon Private Bank Limited, Singapura,” katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Oktober ini. - Bernama