Peniaga ayam terima bungkusan berisi peluru

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga ayam terkejut apabila menerima dua butir peluru dalam satu bungkusan plastik berserta sekeping kertas ditulis ayat berbaur ugutan yang dihantar ke kedainya di Manir di sini kelmarin.

Bungkusan plastik serta sekeping kertas yang diletakkan di atas meja di hadapan kedainya disedari pekerja lelaki, 25, yang datang untuk membuka kedai kira-kira jam 5 pagi.

Menurut sumber, curiga dengan kehadiran bungkusan 'misteri' itu, pekerjanya segera memaklumkan kepada mangsa, 51, sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua butir peluru dan kertas putih berbaur ugutan.

Katanya, di atas kertas tersebut, tertulis ayat yang mengarahkan mangsa menutup kedainya dengan kadar segera jika tidak mahu perkara buruk menimpa diri dan ahli keluarga yang lain.

"Ini kerana suspek mendakwa perniagaan mangsa sudah mengganggu peniaga kecil lain di sekitar kawasan berhampiran.

"Suspek turut memberikan tempoh sehingga hari ini kepada mangsa untuk menutup perniagaannya, jika tidak mahu perkara lebih buruk berlaku termasuk akan mencari mangsa sehingga ke rumah.

"Mangsa yang bimbang keselamatan diri serta ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Manir pada hari yang sama untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.