DAP kuasai PH, itu tuduhan golongan kecewa!

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dakwaan pembangkang tentang DAP menguasai PH menunjukkan kekecewaan mereka.

Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sebaliknya kini, PH semakin mantap dan sepakat selepas dipilih oleh rakyat dalam PRU14 untuk mentadbir negara.

"Kenyataan tersebut melambangkan kekecewaan mereka sedangkan perpaduan di dalam PH semakin mantap.

"Yang paling penting PH semakin mantap kini dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat.

"Sebagai contoh bantuan kepada peneroka, bantuan kepada penoreh getah dan sebagainya dan terkini menurunkan harga minyak yang menggambarkan PH amat komited untuk memastikan manifesto atau tawaran yang dibuat menjadi realiti," katanya kepada Sinar Harian.

Aminolhuda yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri berkata, kemantapan dalam PH semakin baik dan kukuh.

"Ini juga menjadi pendorong kepada ramai tokoh pemimpin pembangkang telah beralih menyokong kita tidak kira sama ada memilih antara DAP, Bersatu, PKR atau amanah," katanya.

Ujarnya lagi, pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh atas dasar kesepakatan dalam PH secara bersama.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan atas dasar atau kehendak DAP semata-mata. Sebaliknya secara persetujuan bersama.

"Apa yang boleh saya katakan di sini, kenyataan itu menggambarkan kekecewaan orang luar tentang PH setelah melihat keserasian di antara kami memimpin sama ada di peringkat Pusat atau negeri," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil mendakwa DAP dilihat menguasai PH sejak sebelum PRU14 lagi atas beberapa faktor.