MMA tuntut kerajaan naikkan elaun ‘on call’ doktor

Jeat Liang
Jeat Liang
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan digesa untuk meneliti semula bayaran elaun ‘on call’ bagi doktor perubatan kerana jumlah bayaran mengikut jam adalah lebih rendah berbanding pekerjaan lain.

Wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Tang Jeat Liang berkata, secara keseluruhan doktor menerima bayaran bagi setiap jam adalah kurang daripada RM10 sedangkan kadar inflasi di Malaysia semakin tinggi.

“Isu berkaitan elaun tersebut bukan perkara baharu sebaliknya ia timbul sejak tahun 2011. Dari tahun berkenaan, sudah beberapa kali kita bertukar menteri, namun masalah itu masih lagi tidak dapat diselesaikan.

“Kami dibayar sebanyak RM200 bagi hari minggu (Isnin hingga Jumaat) manakala RM220 hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dan cuti umum.

"Bayaran itu sangat sedikit jika mahu dibandingkan dengan pekerjaan lain,” katanya ketika Konvensyen Suara Anak Muda, pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau mendakwa bahawa KKM tidak berlaku adil dalam memberikan penawaran pegawai tetap kepada doktor kontrak.

Katanya, kementerian berkenaan perlu menjelaskan kriteria yang dilihat terhadap doktor kontrak sehingga mereka ditawarkan untuk bertugas secara tetap.

“Sebelum ini, kami juga pernah bertanya kepada KKM tentang ciri-ciri doktor kontrak untuk ditawarkan menjadi doktor tetap tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

“Bukan itu sahaja, mereka yang ditawarkan untuk menjadi pegawai tetap perlu melapor diri pada 31 Julai ini, namun masih ada di antara mereka yang tidak lagi menerima surat tawaran secara rasmi,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan untuk menghapuskan sistem doktor kontrak secara total kerana pelaksanaannya tidak adil.

Jeat Liang berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu doktor kontrak kerana negara kekurangan doktor dan bukannya memperkenalkan lebih banyak kontrak.