Berang ditanya balik lewat malam, suami belasah isteri

Gambar hiasan. Gambar kecil: Raiz Mukhliz Azman Aziz
Gambar hiasan. Gambar kecil: Raiz Mukhliz Azman Aziz
A
A
A

MUAR - Berang ditanya sebab pulang lewat, seorang suami tergamak memukul isterinya sehingga cedera dalam kejadian di rumah mereka di Parit Jawa di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam Rabu semasa suspek yang tidak bekerja baru sampai di rumah.

"Isterinya yang berusia 32 tahun telah bertanyakan suspek yang lewat pulang ke rumah. Secara tiba-tiba suspek telah memarahi dan meninggikan suara supaya tidak masuk campur.

"Suspek kemudiannya bertindak memukul isterinya dengan menendang pada bahagian belakang badan dan menumbuk pada bahagian lengan sebelah kiri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis memberkas lelaki tempatan terbabit yang berumur 34 tahun pada jam 2 pagi Khamis kerana mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

"Mengikut laporan dan siasatan suspek telah beberapa kali memukul isterinya sebelum ini.

"Kes disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994," katanya.

Artikel Berkaitan: