1,871 ditahan terlibat judi dalam talian, loteri haram

Mohd Shuhaily ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Mohd Shuhaily ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,871 individu ditahan dalam Op Dadu Khas Judi Online dan Loteri Awam Tanpa Lesen sejak 22 September hingga 5 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 7,761 pemeriksaan dilakukan melibatkan 735 serbuan bagi judi dalam talian di seluruh negara.

“Daripada keseluruhan jumlah yang diperiksa, seramai 802 orang ditahan membabitkan 658 lelaki dan 144 wanita.

“Bagi loteri awam tanpa lesen pula sebanyak 1,050 serbuan dilakukan dan menahan 1,069 orang membabitkan 901 lelaki dan bakinya adalah wanita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, serbuan tertinggi direkodkan bagi kes judi dalam talian adalah membabitkan Kontinjen Sarawak dengan 151 serbuan diikuti Kontinjen Pulau Pinang (95) dan Kontinjen Selangor (83).

"Serbuan tertinggi bagi loteri awam tanpa lesen pula direkodkan oleh Kontinjen Johor, Kontinjen Selangor serta Kontinjen Perak," katanya.

Beliau berkata, penyelarasan operasi tersebut telah dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dengan menggerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen setiap negeri.

“Dalam konteks rampasan judi online membabitkan wang tunai sebanyak RM108,325 dan 20 unit moden, router (12 unit), tablet (3), komputer riba (1), telefon bimbit (792) membawa kepada nilai anggaran RM513,025.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, rampasan loteri awam tanpa lesen membabitkan wang tunai bernilai RM161,426 diikuti 'mobile printer' 467 unit telefon bimbit (907) menjadikan rampasan keseluruhan RM679,816,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 735 kertas siasatan membabitkan judi dalam talian dibuka, 123 daripadanya telah dituduh di mahkamah dan 31 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), 581 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat.

“Bagi kes loteri awam tanpa lesen pula, 1,050 kertas siasatan dibuka, 257 daripadanya telah dituduh di mahkamah dan 12 diklasifikasikan sebagai NFA manakala 781 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaily menegaskan kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Dalam serbuan yang dilakukan, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian RM13 juta daripada hasil perjudian haram menerusi Ops Dadu khas yang dijalankan selama dua minggu ini.

“Kami turut mendapati beberapa modus operandi terbaharu yang dilakukan sindiket bagi menyukarkan pertuduhan dilakukan seperti mewujudkan orang tengah,” katanya.